Artikel

1 Ogos 2025 – Ketahui Perkara Yang Dikuat Kuasakan Pada Hari Ini

Bulan Ogos tidak sekadar menjadi bulan yang bermakna untuk rakyat Malaysia bagi meraikan Hari Kebangsaan tetapi dilihat terdapat juga beberapa perkara akan dikuatkuasakan pada bulan ini. Mari kita terokai apa penguatkuasaan yang dijalankan bermula hari ini.

Hanya 1 Kelas Teori Dilaksanakan Untuk Lesen Motosikal Dan Kereta

Walaupun dasar 1 kelas teori telahpun dimulakan sejak tahun 2023 lagi, namun pada tempoh tersebut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) difahamkan masih menggunakan modul berasingan untuk lesen motosikal dan kereta. Susulan itu, mulai hari ini pelaksanaan Modul Kursus Teori Kurikulum Pendidikan (KPP01) dimaklumkan akan disatukan pada 1 Ogos 2025. Langkah itu secara jelas akan memberi penjimatan kos dan memendekkan tempoh proses mendapatkan lesen pemandu ke atas kumpulan calon.

Subsidi Telur Ayam Tamat Sepenuhnya

Hasil penelitian beberapa faktor dan usaha dalam mengukuhkan aliran pengeluaran pembekalan makanan di Malaysia – kerajaan memaklumkan subsidi telur ayam ditamatkan sepenuhnya bermula hari ini. Tindakan ini sekaligus turut membantu peralihan dana subsidi kepada keperluan barangan asas yang lain.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) optimis pelaksanaan ini tidak akan memberi impak kepada harga jualan telur ayam di Malaysia susulan pengeluarannya stabil dan mencukupi sekaligus tidak akan mendorong sebarang manipulasi harga di pasaran semasa.

Gaji Minima RM1,700 Dilaksana Sepenuhnya – Termasuklah Ke Atas Majikan Miliki Kurang 5 Pekerja

Seperti yang umum ketahui sebelum ini, pelaksanaan tersebut dikuatkuasakan ke atas kumpulan majikan yang miliki 5 pekerja ke atas sahaja pada 1 Februari 2025 – sebagaimana yang dilaras di bawah pembentangan Belanjawan 2025. Pelaksanaan itu memberi tempoh 6 bulan kepada operasi kecil untuk menyesuaikan kewangan mereka sehingga 31 Julai ini. Maka dengan penamatan tempoh pengecualian itu, semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja perlu melaksanakan tuntutan gaji minima ini.

CAAM Jadi Entiti Tunggal Kawal Selia Industri Penerbangan Malaysia

Selaras dengan tindakan pembubaran rasmi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), bermula hari ini akan perlihatkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ambil alih sepenuhnya semua peranan kawal selia industri penerbangan awam di negara.

Peranan ini merangkumi pelesenan, pengagihan hak trafik udara, pembangunan lapangan terbang, perkhidmatan udar luar bandar, isu ekonomi, persaingan serta pemantauan kawal selia secara menyeluruh.

Perniagaan Boleh Daftar Perluasan Skop, Semakan Kadar SST

Kementerian Kewangan (MOF) kini memaklumkan permohonan pendaftaran baharu berkaitan peluasan skop sukai perkhidmatan dan semakan kadar cukai jualan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai ini – boleh dilaksanakan bermula hari ini.

Seperti yang umum ketahui perluasan dan pelarasan kadar baharu SST dilaksanakan pada 1 Julai lalu maka dengan itu segala kategori perniagaan yang terlibat perlulah mengambil langkah lanjut. Antaranya melibatkan perluasan skop cukai perkhidmatan ke atas 6 perkhidmatan baharu iaitu penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.

LHDN Tamatkan Potongan Cukai 2% Buat Ejen, Pengedar Yang Meninggal Dunia

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  memaklumkan tiada lagi potongan cukai 2% ke atas bayaran yang dibuat kepada ejen, pengedar atau pengagih (Individu Pemastautin)(EPP) yang telah meninggal dunia.

Buat pengetahuan umum, di bawah Seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 – syarikat yang terlibat perlu melaksanakan potongan cukai sebanyak 2% ke atas pembayaran tunai yang dibuat kepada EPP. Bayaran potongan ini adalah terpakai kepada individu pemastautin yang dilantik oleh syarikat pembayar untuk bertindak selaku EPP dan menerima bayaran yang terbit daripada hasil jualan, transaksi atau skim yang dijalankan atas kapasiti mereka selaku EPP.

Caj 1.6% KWTB Kini Dikecualikan – Sasar Galak Penerapan Tenaga Boleh Baharu Di Malaysia

Caj 1.6% Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTB) bagi tarif elektrik daripada program tenaga boleh baharu kini dikecualikan. Tindakan itu beri penjimatan kepada sebahagian kumpulan pengguna domestik serta pemain korporat negara yang penggunaan elektriknya lebihi 300 kWj sebulan.

Lebih terperinci pengecualian akan memberi manfaat kepada pengguna di bawah Program Green Electricity Tariff (GET), Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM). Bersama insiaitif ini, ia berupaya meningkatkan matlamat Malaysia untuk mencapai penggunaan 70% TBB kalangan pemain korporat dan industri menjelang tahun 2050 kelak.