Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini memaklumkan mulai 1 Ogos ini, tiada lagi potongan cukai 2% ke atas bayaran yang dibuat kepada ejen, pengedar atau pengagih (Individu Pemastautin)(EPP) yang telah meninggal dunia.
Buat pengetahuan umum, di bawah Seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 – syarikat yang terlibat perlu melaksanakan potongan cukai sebanyak 2% ke atas pembayaran tunai yang dibuat kepada EPP. Bayaran potongan ini adalah terpakai kepada individu pemastautin yang dilantik oleh syarikat pembayar untuk bertindak selaku EPP dan menerima bayaran yang terbit daripada hasil jualan, transaksi atau skim yang dijalankan atas kapasiti mereka selaku EPP.
Namun takrifan ‘individu’ adalah merujuk kepada orang yang masih hidup makanya untuk EPP yang telah meninggal dunia, kumpulan ini tidak lagi dikategori sebagai individu yang dimaksudkan dalam peruntukan tersebut. Makanya langkah potongan cukai 2% itu tidak terpakai ke atas bayaran dibuat kepada EPP.
Jelas LHDN, bayaran potongan tersebut tidak lagi akan diterima LHDN.
Sekiranya terdapat pendapatan yang diterima selepas tarikh kematian EPP maka kumpulan pentadbir, waris ataupun wakil sah si mati perlulah laporkan ia di bawa h fail Harta Pusaka (TP) untuk tujuan melengkapkan borang pemberitahuan kematian pembayar cukai (CP57) kepada LHDN, ini termasuklah kesediaan borang sokongan seperti sijil kematikan dan salinan surat kuasa mentadbir.
EPP untuk makluman merujuk kepada individu pemastautin yang diberi kuasa oleh syarikat pembayar untuk bertindak selaku ejen, pengedar atau pengagih. Di mana kumpulan ini akan menerima bayaran daripada hasil jualan, transaksi atau skim yang dijalankan oleh syarikat. Ini bermakna sebarang bayaran tunai yang diterima adalah dalam bentuk komisen dan insentif. Tindakan pembayaran ini yang membolehkan syarikat menerima potongan cukai 2%. Namun jika EPP berkaitan telahpun meninggal dunia, maka potongan cukai tersebut tidak lagi terpakai.