Hari ini pastinya menjadi hari yang menarik rakyat Malaysia berikutan terdapat penguatkuasaan baharu dilaksanakan merentasi pelbagai segmen. Antaranya meliputi percukaian barangan khidmat, penetapan tarif elektrik dan banyak lagi. Mari kita lihat apa penguatkuasaan yang dilaksanakan bermula hari ini~
Tarif Elektrik ‘Lebih Adil’ Dilaksanakan Buat Pengguna Semenanjung
Berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Disember 2027 kelak, seramai 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia menikmati kadar tarif elektrik yang lebih adil. Di mana menurut Suruhanjaya Tenaga (ST) pelarasan ini akan meluaskan penjimatan pengguna pada bil elektrik mereka dengan purata tarif asas akan diselaraskan kepada 45.50 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024 lalu.
Malah pelarasan kos ini turut alami perubahan di mana Automatik Fuel Adjustment (AFA) akan menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT). Pendekatan itu akan membolehkan pelarasan kos penjanaan akan dilaksanakan secara automatik berdasarkan harga bahan api di pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang asing.
Secara menyeluruh, dijangka pelarasan ini akan memberi manfaat yang lebih adil kepada penduduk domestik dengan sebilangan kumpulan meraih manfaat baharu seperti pengecualian untuk jumlah penggunaan elektrik tertetntu, kadar tarif khas untuk sektor ekonomi terpilih, perolehan rebat untuk institusi pendidikan dan buat kumpulan miskin tegar.
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) Beri Penekanan Ke Atas Barangan Premium
Meskipun berdepan pelbagai kritikan dan ulasan berkaitan produk jualan, perkhidmatan dan syarikat yang terlibat akan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini. Semua pihak perlu akui, hari ini secara rasminya perluasan dan pelarasan kadar SST telah dikuatkuasakan. Di mana tujuan utamanya mengukuhkan produk tempatan di samping meluaskan asas percukaian tanpa membebankan kos rakyat.
Hasil penelitian kembali pentadbiran berhubung pandangan orang awam akan senarai produk yang terlibat – kerajaan Malaysia telah bersetuju mengecualikan pelarasan baharu itu ke atas beberapa produk antaranya seperti buah import epal, oren, limau mandarin dan kurma. Perihal ini menurut pentadbiran didasari akan kadar penggunaan yang tinggi kalangan pengguna negara termasuklah golongan berpendapatan rendah. Maka pengenaan kos yang lebih tinggi dilihat tidak wajar susulan akan meningkatkan tekanan kos ke atas pengguna negara.
Untuk lebih memahami akan perluasan skop tersebut, semua pihak boleh merujuk laman rasmi MySST Jabatan Kastam negara bagi tindakan lanjut.
Bank Negara Beri Kelonggaran Syarikat Pemastautin Urus Operasi Pelaburan Asing
Dalam usaha tingkatkan komitmen Malaysia pada pasaran terbuka, hari ini Bank Negara Malaysia membenarkan Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (QRI) menguruskan operasi pelaburan asing di Malaysia. Menerusi akses ini, ia akan membantu pelabur memudahkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik. Malah usaha ini turut akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia – apabila terdapat syarikat yang meraih pencapaian cemerlang dalam pelaburan asing, ia akan memberi keuntungan kepada negara.
Prestasi itu secara terus merangsang ekonomi domestik menerusi pengembangan operasi dan tindakan pelaburan semula. Usaha itu sekaligus akan meningkatkan tahap keyakinan pelabur asing dan memacu kestabilan pada pasaran kewangan negara.
Maybank Sedia Akses E-Invois Pada Aplikasi MAE, M2U Biz Dan Laman Web M2U Biz
Selaras dengan matlamat untuk tambahbaik sistem percukaian negara – Maybank kini memaklumkan semua pengguna boleh mengakses e-Invois pada aplikasi MAE, M2u Biz dan laman web M2U Biz mereka.
Menerusi penerapan ciri tersebut, ia akan memudahkan pengguna berkaitan untuk meraih rekod transaksi mereka menerusi saluran yang dimaklumkan. Tetapi paras pengguna perlu laksana permohonan untuk mengaktifkan ciri tersebut. Bagi pengguna MAE, ciri tersebut boleh diakses pada butang Quick Actions dan klik pada bahagian View All seterusnya menatal ke ikon e-Invois (LHDN). Setelah mematuhi segala keperluan maka pengaktifan e-Invois boleh dilaksanakan secara terus.
Manakala untuk aplikasi dan laman web M2U Biz pula memerlukan kumpulan pengguna berkaitan untuk klik pada ikon e-Invois dan lengkapkan segala butiran sebelum tindakan pengaktifan diberikan. Dengan akses ini ia secara langsung meningkatkan lagi kecekapan transaksi antara pengguna dan peniaga di pasaran semasa.
Pengguna Pas My50 Boleh Tambah Nilai Guna TNG eWallet
Pengguna pas My50 kini boleh menarik nafas lega apabila kemudahan tersebut kini telah ditambahbaik – dengan membolehkan proses pembaharuan pas dan menambahnilai dijalankan menerusi aplikasi TNG eWallet.
Kerjasama antara TNG Digital dan Prasarana ini secara langsung memberi pilihan kepada pengguna untuk tidak lagi menggunakan MyKad semata selaku medium saluran pas My50. Ini bermakna pengguna kini turut boleh gunakan mana-mana kad TNG selaku medium pas My50. Jelas Kementerian Pengangkutan (MOT) langkah itu akan memudahkan semua pihak terutamanya sekitar 250,000 pengguna pas My50 ketika ini untuk menambahnilai pas My50 mereka menggunakan kad TNG pada aplikasi TNG eWallet.
Sekiranya masih terdapat pengguna yang kekal ingin menggunakan MyKad, maka keperluan itu kekal tersedia. Namun proses menambahnilai pas My50 menggunakan MyKad hanya tersedia secara kaunter fizikal dan menerusi permohonan laman web Prasarana sahaja.
Kenderaan Singapura Wajib Miliki VEP Ketika Masuki Malaysia – Jika Tidak Disaman RM300
Setelah melaksanakan pendekatan awal ke atas kenderaan asing dari Singapura – semua kenderaan asing dari Singapura kini wajib memiliki VEP ketika memasuki Malaysia.
Buat pengetahuan umum, VEP adalah peraturan Permit Kemasukan Kenderaan. Dengan sistem ini ia akan meningkatkan tahap pematuhan kemasukan kenderaan di negara. Khususnya pengawalan peraturan jalanraya di Malaysia. Ini bermakna sekiranya kenderaan asing memasuki negara tanpa tag VEP maka ia boleh dianggap melakukan kesalahan selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Ambank Kurangkan Had Pengeluaran MEPS Percuma – Bagi Akaun Terpilih
Ambank memaklumkan kini mereka mengurangkan had pengeluaran MEPS percuma ke atas sebilangan akaun perbankan mereka. Ini melibatkan peruntukan pengeluaran percuma MEPS sebanyak 8 kali kepada 3 kali sebulan sahaja.
Pengurangan had pengeluaran percuma MEPS ini antaranya melibatkan akaun seperti Akaun Simpanan-i AMWafeeq, akaun Penyimpan/-i TRUE, Akaun Transaksi/-i TRUE, Akaun Semasa AmPartner dan Akaun Semasa/-i AmStar.
Berdasarkan notis itu, pihak perbankan tidak menjelaskan perincian lanjut akan pelaksanaan tindakan tersebut. Maka untuk pengguna terlibat yang ingin meraih penerangan berikut disarankan merujuk cawangan AmBank berdekatan atau hubungi talian perkhidmatan 03-2178 8888.
Gagal Pakai Tali Pinggang Keledar – Penumpang, Pemandu Bas Akan Disaman RM300
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memaklumkan semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran di Malaysia, diwajibkan untuk memakai tali pinggang keledar.
Penguatkuasaan itu terpakai untuk bas yang dibina selepas Januari 2020, sementara bas yang dibina sebelum tahun 2020 pula akan diberi tempoh persediaan untuk laksana pemasangan tali keledar itu.
Maka dengan pelaksanaan peraturan baharu ini, jika didapati kumpulan pemandu mahupun penumpang gagal mengikuti arahan tersebut maka pengenaan saman sekitar RM300 akan dikenakan. Menurut JPJ pihaknya telahpun melaksanakan pelbagai langkah advokasi dan kini perkongsian garis panduan bersama pihak pengendali bas telahpun dijalankan untuk penguatkuasaan peraturan tersebut.
Maka dengan pendekatan ini, disasarkan risiko kemalangan yang lebih tinggi di Malaysia dapat dibendung oleh kenderaan sekiranya pematuhan peraturan ini dipenuhi.