Artikel

Mulai 1 Julai 2025 – Pengguna Pas My50 Boleh Tambah Nilai Guna TNG eWallet

Setelah 6 tahun akses MyKad digunapakai untuk pengaktifan secara fizikal selaku pas My50 – kini TNG Digital bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) secara rasminya melancarkan penerapan digital ciri pas My50 melalui aplikasi TNG eWallet.

Dengan kemudahan ini, ia bermakna semua pengguna warganegara Malaysia boleh menggunakan mana-mana kad TNG yang dipautkan kepada TNG eWallet untuk menambah nilai pas tersebut. Akan tetapi pembaharuan secara fizikal dijelaskan masih boleh dilakukan di setiap stesen tren Rapid Rail seperti sedia kala.

Apa yang menariknya, pada penerapan ciri My50 bersama TNG eWallet ini – diakhir penggunaan bulanan pas My50 – aplikasi TNG eWallet akan merumuskan aliran perjalanan para pengguna dan memberi gambaran sebenar akan kos pengangkutan. Daripada rekod tersebut, ini akan membantu pengguna lebih memahami kos sebenar dan penjimatan kos yang diraih menerusi pas My50 ini.

Selain inisiatif ini, pihak kumpulan turut akan meluaskan inisiatif pendigitalan ke atas produk lain seperti pas MyCity dan MyTourist menjelang akhir 2025 ini. Bersama perluasan tersebut, ia tidak sekadar memanfaatkan pengguna tempatan, menggalakkan transaksi nirtunai tetapi turut menggalakkan kemudahan buat pelancong di negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak.