Untuk menggalakkan pengurusan penggunaan elektrik yang lebih berkesan selaras dengan matlamat negara untuk melaksanakan sistem tenaga yang cekap dan mampan – kini dimaklumkan lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar tarif elektrik yang lebih adil mulai 1 Julai 2025 ini.
Penguatkuasaan sehingga 31 Disember 2027 itu akan perlihatkan tempoh penggunaan luar waktu puncak pada hari minggu akan dipanjangkan. Langkah ini sekaligus akan meluaskan penjimatan pengguna pada bil elektrik mereka. Selain itu Suruhanjaya Tenaga (ST) turut memaklumkan purata tarif asas akan diselaraskan kepada 45.50 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024 lalu.
Selain itu, mekanisme pelarasan kos ini akan alami perubahan di mana Automatik Fuel Adjustment (AFA) akan menggantikan mekanisme. Imbalance Cost Pass-Through (ICPT). Pendekatan itu akan membolehkan pelarasan kos penjanaan akan dilaksanakan secara automatik berdasarkan harga bahan api di pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang asing.
Menurut ST, maklumat tersebut akan dilaporkan pada setiap bulan di laman sesawang ST. Berdasarkan unjuran sehingga akhir tahun ini, ST menjangkakan pelarasan itu tidak akan melebihi 3 sen sebulan. Secara menyeluruh ini perincian lain berhubung penguatkuasaan tarif elektrik kelak:
- Pengguna domestik bawah 1,000kwJ serta pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200kWj ke bawah akan dikecualikan. Perihal ini untuk tingkatkan lagi penggunaan elektrik secara cekap
- Kerajaan turut bersetuju beri kadar tarif khas untuk sektor terpilih seperti pertanian, air, pembentungan dan pengendalian rel
- Institusi pengajian tinggi berdaftar, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat pula akan meraih rebat sebanyak 10%
- Ketua Isi Rumah kalangan golongan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasoh akan menikmati rebat bulanan sehingga RM40