Selepas melaksanakan program rintis pada April tahun lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) kini mengumumkan bermula 1 Julai kelak – Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (QRI) akan dilaksanakan secara penuh pada pasaran negara.
Jelas BNM, sejak ia mula dilaksanakan secara rintis – program ini telah menjana aliran masuk dana berjumlah lebih $1 bilion daripada syarikat-syarikat peserta ke dalam pasaran kewangan domestik.
Menerusi akses ini, ia akan membantu pelabur memudahkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik. Malah usaha ini turut akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia – apabila terdapat syarikat yang meraih pencapaian cemerlang dalam pelaburan asing, ia akan memberi keuntungan kepada negara. Prestasi itu akan merangsang ekonomi domestik menerusi pengembangan operasi dan tindakan pelaburan semula.
Maka untuk penyertaan itu, kumpulan pelabur pemastautin perlu melengkapkan proses pendaftaran sekali sahaja bersama BNM. Di bawah pendaftaran itu kumpulan ini akan meraih akses fleksibiliti QRI bagi laksana aktiviti pelaburan langsung luar negeri di masa hadapan tanpa perlu dapatkan kelulusan BNM.
Akan tetapi untuk meraih akses itu, selain lengkapkan proses pendaftaran – pelabur pemastautin hendaklah membawa balik dan menukar perolehan dana mata wang asing kepada ringgit dan kumpulan ini perlu memiliki rekod amalan tadbir urus korporat yang baik serta mematuhi dasar pertukaran asing BNM.
Jelas BNM, program ini akan tersedia sehingga 30 Jun 2028 kelak.
Secara menyeluruh, adanya pengurusan pertukaran asing yang lebih fleksibel ini ia akan perlihatkan komitmen Malaysia pada pasaran terbuka – yang mana turut akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur asing terhadap negara dan memacu kestabilan pada pasaran kewangan Malaysia.