Artikel

Belanjawan 2026 – Apa Lagi ‘Gula-Gula’ Yang Akan Diberi Kepada Rakyat Malaysia?

Bertemakan Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat – Belanjawan 2026 dilihat akan menjadi siri bajet kewangan negara yang dinantikan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Selain ia menjadi belanjawan ke-4 di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, belanjawan ini turut menjadi bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Maka dengan tumpuan tersebut, apa agenda yang akan diutamakan? Atau lebih mudah apa gula-gula mahupun insentif yang berupaya meringankan beban kos sara hidup rakyat negara untuk meraih taraf hidup yang lebih baik. Berikut adalah agenda utama yang dijangka akan menjadi tumpuan pada Belanjawan 2026.

Belanjawan 2026 – Jadi Peruntukan Tertinggi?

Sejak 2021 lagi peruntukan menyeluruh belanjawan Malaysia memperlihatkan peningkatan yang konsisten di mana 2021 (RM322.5 bilion), 2022 (RM332.1 bilion), 2023 (RM388.1 bilion), 2024 (RM393.8 bilion) dan 2025 jadi peruntukan paling tertinggi dengan RM421 bilion. 

Peningkatan secara berkala ini selaras dengan matlamat negara untuk tambahbaik aliran pengurusan dan pembangunan di pasaran Malaysia. Tumpuan ini sekaligus akan memberi cerminan kepada langkah negara dalam mengimbangi aliran perbelanjaan bersama insentif baharu kepada rakyat negara. Semua pihak perlu ketahui, pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan lebih perlahan pada tahun ini dan situasi itu berupaya memberi kesan kepada tahun berikutnya. Ini bermakna hasil negara juga berdepan risiko yang lebih besar akan kesan pertumbuhan tersebut. Dan melihat pada potensi itu, terdapat persoalan akan keupayaan kerajaan untuk mengekalkan prestasi dengan penawaran bajet yang tinggi pada Belanjawan 2026.

Pacu PMKS, Pekerjaan Belia – Perlu Lebih Daripada Insentif Tambahan

Bagi golongan muda dan PKS, ‘gula-gula’ yang diharapkan adalah peluang pekerjaan berkualiti dan sokongan padu untuk perniagaan mikro. Belanjawan ini sewajarnya merangka inisiatif untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan menggalakkan keusahawanan. Tumpuan ini tidak sekadar tertakluk kepada insentif tambahan semata seperti perluasan akses pembiayaan tetapi turut meluaskan rangka bagaimana negara dapat tingkatkan daya saing pemain ekonomi dan bakat Malaysia di pasaran luar.

Antaranya menumpukan penawaran insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menggalakkan pelaburan strategik dalam bidang berteknologi tinggi, automasi, dan kenderaan elektrik (EV), yang akan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi. Selain itu program latihan kemahiran melibatkan bidang TVET, ekonomi digital serta kemahiran lain wajar diperluaskan. Ini tidak sekadar tertumpu kepada graduan baharu tetapi turut kepada warga PKS. Usaha tersebut secara langsung dapat mengukuhkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik secara berkala di pasaran domestik mahupun antarabangsa.

Imbangi Kos Sara Hidup Rakyat Malaysia – Harga Barangan VS Gaji

Walaupun Kerajaan telah melaksanakan dasar gaji minimum baharu dengan paras RM1,700 sebulan pada tahun ini, angka ini dilihat masih jauh di belakang dengan apa yang dianggap sebagai ‘gaji bermaruah’ untuk menampung perbelanjaan asas isi rumah, terutamanya di kawasan bandar. Tahukah anda, orang bujang yang tinggal di Lembah Klang perlu berbelanja sekitar RM1,930 sebulan?! Dan ini adalah untuk kategori individu yang menggunakan pengangkutan awam, sementara yang memiliki kenderaan sendiri memerlukan sekitar RM2,600 sebulan!

Tekanan ini diburukkan lagi apabila kadar inflasi bagi barangan keperluan asas, seperti makanan dan minuman, secara konsisten lebih tinggi berbanding inflasi keseluruhan. Ini bermakna kuasa beli isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah terhakis dengan cepat walaupun gaji nominal mereka menunjukkan sedikit peningkatan.

Pelaburan Kesihatan dan Pendidikan – ‘Gula-Gula’ Jangka Panjang

Peruntukan besar untuk sektor kesihatan dan pendidikan dilihat sebagai ‘gula-gula’ berbentuk pelaburan jangka panjang dalam modal insan. Kesihatan dan pendidikan yang berkualiti adalah asas kepada peningkatan taraf hidup rakyat secara mampan.

Ini bermakna adalah wajar untuk kerajaan mengekalkan peningkatan perbelanjaan pada segmen kesihatan awam, pendigitalan perkhidmatan kesihatan, dan penekanan pada pencegahan penyakit (seperti NCD). Terdapat juga cadangan radikal seperti memansuhkan subsidi gula dan memperluaskan cukai minuman bergula, dengan hasil disalurkan terus kepada KKM, sebagai langkah untuk menggalakkan gaya hidup sihat. Tindakan peralihan hasil ini untuk makluman telahpun diterapkan pada Belanjawan 2025 lalu.

Sementara tumpuan sektor pendidikan pula adalah kepada perluasan kemudahan pendidikan, terutamanya bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional). Aspek keselamatan sekolah dan penambahbaikan prasarana pendidikan di luar bandar, Sabah dan Sarawak dijangka akan terus menerima peruntukan lebih besar pada tahun ini. Tindakan ini bagi memastikan setiap akses pendidikan yang saksama dapat dicapai oleh seluruh negeri di Malaysia. Selain perluasan akses, penawaran insentif seperti baucar buku dan cadangan menaikkan dana RMT juga dilihat wajar disemak. Kedua lanjutan insentif ini dilihat tidak hanya membantu kumpulan pelajar untuk meraih akses pendidikan lebih baik tetapi turut menyokong kumpulan peniaga dalam industri berkaitan, meraih manfaat sokongan dana.

Tahun Melawat Malaysia 2026 – Sektor Pelancongan Jadi Tumpuan

Seperti yang umum sedia maklum, tahun 2026 akan menjadi Tahun Melawat Malaysia. Di mana dijangka sejumlah 35.6 juta pelancong antarabangsa akan memasuki negara dengan potensi hasil mencapai sekitar RM147.1 trilion.

Berlandaskan jangkaan itu, belanjawan kali ini dilihat akan memberi keutamaan pada perolehan peruntukan yang lebih tinggi pada 2026. Pastinya fokus akan terarah kepada pelancongan ekonomi setempat, lestasi dan keunikan ekopelancongan seperti di Sabah, Sarawak, tapak warisan UNESCO serta lokasi budaya.

Tumpuan ini sekaligus memerlukan pembangunan infrastruktur yang lebih baik khususnya di kawasan luar dan pinggir bandar. Di samping usaha negara untuk tingkatkan titik digital bersama pemain ekonomi kecil bagi memastikan pasaran Malaysia kekal relevan kepada pelancong antarabangsa untuk menggalakan aliran perbelanjaaan kelak.