Artikel

Kerajaan Sasar Naikkan Potensi Pelaburan, Perkukuh Khidmat Asas – Pada Belanjawan 2026

Sebagaimana yang dimaklumkan, hari ini kerajaan Malaysia telah memulakan libat urus berkaitan hala tuju kewangan negara pada tahun hadapan. Berlandaskan komitmen itu, Belanjawan 2026 diperincikan akan tertumpu kepada beberapa teras iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan menambahbaik tatakelola pentadbiran semasa.

Jelas Timbalan Menteri Kewangan Amir Hamzah pada laporan sidang Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 pagi ini, langkah menaikkan siling adalah cenderung kepada tindakan meningkatkan daya saing negara dan sasaran pencapaian Malaysia sama ada pada penawaran perbelanjaan yang lebih besar dan perluasan pelaburan pada inovasi.

Sementara tindakan menaikkan lantai adalah membawa kepada matlamat kerajaan untuk meningkatkan dasar minimum atau standard minimum dalam perkhidmatan awam, kualiti projek pembangunan dan tahap kecekapan operasi. Tumpuan ini antara lain adalah bertepatan dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 dalam menambahbaik pasaran Malaysia di masa hadapan.

Selain tumpuan asas itu, sudah pasti pelbagai kategori industri akan menjadi tumpuan pada Belanjawan 2026 ini yang dijangka akan dibentang 10 Oktober 2025  ini – antaranya semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi Islam, pendigitalan, kumpulan peniaga, pendidikan, kesihatan serta rancangan negara dalam meningkatkan pendapatan dan menamatkan isu kemiskinan.