Ekonomi Malaysia pada tahun ini dilihat akan alami pertumbuhan yang lebih perlahan dengan jangkaan prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekitar 4.3% berbanding 5.1% yang direkodkan pada 2024.
Persekitaran ini antara lain kesan tekanan luaran yang semakin meningkat – melibatkan krisis ketegangan perdagangan dan permintaan lemah daripada rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat dan China.
Data di bawah ICAEW Southeast Asia Economic Insight: Q2 2025 ini menjelaskan perkembangan ekonomi negara akan dilihat lebih perlahan menjelang separuh kedua 2025 kelak – antaranya pertumbuhan eksport dijangka perlahan dengan ketara pada separuh kedua tahun ini.
Untuk makluman umum, pertumbuhan eksport barangan Malaysia telahpun perlahan kepada 1.6% tahun ke tahun pada suku pertama 2025, jauh di bawah purata kadar pertumbuhan 7.1% dalam tiga suku sebelumnya.
Dan kedudukan ini masih lagi tidak seimbang khususnya penantian negara akan penurunan tarif import bersama Amerika Syarikat (AS) masih lagi tidak mencapai kesepakatan. Biarpun ketika ini negara sekadar dikenakan tarif asas 10% berbanding pengenaan asal sekitar 24% tindakan itu kekal memberi risiko yang ketara kepada pengeksport tempatan.
Tambahan pula, permintaan yang semakin lemah dari China — destinasi eksport terbesar Malaysia — menambah lagi tekanan terhadap persekitaran perdagangan luar negara.
Maka untuk mengimbangi perihal tersebut, adalah penting untuk Malaysia meluaskan pelonggaran monetari bagi menyokong permintaan domestik negara. Seperti yang umum ketahui, perihal ini telahpun sedang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) – antaranya mengekalkan paras OPR di takuk 3.0% sejak Mei 2023.
Tindakan ini secara langsung mengurangkan kadar faedah pinjaman di bank-bank komersial melibatkan pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan sekaligus meningkatkan kapasiti perbelanjaan kepada pengguna dalam arena ekonomi negara.