Artikel

Kes Harian COVID-19 Papar Peningkatan, Adakah Rakyat Malaysia Semakin Alpa?

Angka penularan kes harian COVID-19 negara nyata semakin rancak. Kenyataan ini adalah berdasarkan pengamatan penulis pada minggu lalu iaitu 5 April sehingga 10 April 2021.

Tahukah anda dalam tempoh tersebut, sekitar 12 Kluster Komuniti telah dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Ini adalah data dalam masa 6 hari sahaja. Adakah itu bermakna rakyat Malaysia semakin selesa akan penerapan norma baharu? Penulis melihat ini sebagai terlalu selesa. Ia kerana, peningkatan angka kes pada paras melebihi 1,000 kes harian adalah suatu petanda yang kurang baik untuk pertumbuhan Malaysia.

Meskipun penyumbang utama peningkatan kes pada minggu ini adalah pada Kluster Tempat Kerja iaitu 29 kluster baharu telah dikesan – namun kelonggaran perjalanan ke tempat awam, daerah dan pembukaan operasi perniagaan tertentu nyata turut menjadi punca kepada kadar penularan pandemik berlaku dalam kalangan komuniti.

Ini dapat diperlihatkan menerusi momentum nilai kebolehjangkitan (Rt) negara pada setiap negeri sehingga 10 April 2021 – dan jangkaan sehingga 29 Mei 2021 kelak.

Berdasarkan data itu, nyatakan kadar pematuhan SOP negara masih diparas sederhana dan Selangor, Sarawak, Kelantan dan Sabah tampil selaku negeri yang mempamerkan aliran peningkatan kes positif. Situasi ini berkemungkinan akan mendedahkan Malaysia pada gelombang keempat COVID-19, sekiranya tidak dibendung.

Penulis melihat perkara ini sesuatu yang membimbangkan kerana tidak lama lagi pembukaan operasi Bazar Ramadan akan dibenarkan pada setiap negeri. Persoalannya, apakah penerapan SOP pada operasi tersebut telah bersiap sedia? Itu tidak termasuk dengan aktiviti sosial yang telahpun dibenarkan beroperasi, seperti perkahwinan, majlis awam yang membabitkan jumlah besar segelintir individu.

Untuk makluman pembaca, selain Kluster Komuniti, Kluster Keagamaan juga telah mulai dikesan. Kenyataan ini amat merunsing – berhubung pelaksanaan kebenaran ibadat tarawih Ramadan tidak lama lagi. 

Sementara itu, rata-rata pihak juga mulai mengutarakan kebimbangan mereka pada media sosial berkenaan pengawalan dalam sesebuah aturcara majlis. Di mana kawalan untuk memastikan semua pihak mengikuti SOP adalah sesuatu perkara yang sukar dilakukan – meskipun telah ditetapkan garis panduan. Ketidakpatuhan ini yang akan mendorong kepada potensi penularan yang lebih besar.

Dan kini terdapat pula permintaan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri, dilihat sekadar merumitkan situasi tersebut. Jika kebenaran diberikan kepada orang awam – adakah semua pihak akan melaksanakan pematuhan SOP dengan sebaik mungkin? Masih tiada jaminan.

Walaupun Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin pernah mengatakan – individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 boleh ‘bergerak ke sana ke sini’, namun kenyataan itu sendiri tidak mendapat jaminan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini kerana, WHO beranggapan tiada jaminan bahawa suntikan vaksin COVID-19 dapat mengekang penularan pandemik – masih terlalu awal untuk memberi harapan dan keyakinan tersebut kepada rakyat dunia.

Oleh itu, rakyat Malaysia – ayuh terus membasmi penularan COVID-19 dengan memakai pelitup muka, kekal jarak fizikal, sentiasa menjaga kebersihan diri dan hindarkan diri anda dari kawasan padat. Menerusi kaedah ini, setiap langkah kita dapat membantu meningkatkan kesejahteraan Malaysia.