Artikel

Individu Yang Telah Menerima Suntikan Vaksin COVID-19, Boleh Rentas Negeri Tanpa Halangan Kelak – PM Muhyiddin

Sekiranya anda telah memperolehi 2 suntikan dos vaksin COVID-19 maka anda antara yang layak untuk memiliki kebenaran rentas negeri tidak lama lagi.

Itulah yang diperkatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada acara Makmur Bersama Sarawak hari ini (1 April). Menurutnya ia berikutan jaminan kesihatan yang telah dilepasi oleh individu yang telah disuntik vaksin.

Malah menurut PM Muhyiddin perkara ini telah dibincangkan menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa pihak kerajaan ingin memutuskan – individu yang telah menerima vaksin COVID-19, mereka boleh merentas negeri tanpa dihalang pihak berkuasa.

Dengan adanya perolehan sijil vaksinasi – semua pihak tidak perlu runsing lagi untuk menjalani perjalanan rentas negeri mahupun rentas antarabangsa.

Bagaimanapun – kenyataan ini dilihat sebagai gambaran awal, tiada sebarang maklum balas diperkatakan oleh MKN sendiri berhubung kebenaran tersebut buat masa ini.

Segala arahan kebenaran hanya termaktub berdasarkan makluman semasa yang dipersetujui bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelak.