Artikel

Edisi Merdeka | Bebaskan Rakyat Malaysia Daripada Jurang Pendapatan

Merdeka menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa erti kepada kebebasan iaitu bebas daripada penjajahan, kurungan serta naungan dari sesebuah pihak. Mengambil makna itu, tarikh 31 Ogos akan sentiasa menjadi tarikh keramat buat warganegara Malaysia, ia merupakan simbolik kepada perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara dari cengkaman jajahan tentera British sejak Ogos tahun 1957. 

Sememangnya negara kini telah kecapi status kebebasan tersebut selama 66 tahun, tetapi adakah rakyat benar-benar bebas? Secara amnya, ia benar. Namun berdasarkan aspek ekonomi, penulis melihat masih terdapat jurang yang besar buat rakyat negara perlu tempuhi. Terutamanya melibatkan jurang pendapatan.

Ramai Pekerja Negara Berpendidikan Tinggi – Namun Tidak Miliki Kerjaya Setara Kemahiran

Jurang sedemikian dapat diperhatikan pada Statistik Siswazah negara tahun lalu yang memaparkan lebih 1.7 juta siswazah Malaysia yang berpendidikan tinggi, miliki kerjaya tidak setara dengan tahap kelayakan mereka. Di mana kumpulan ini bekerja di dalam kategori separuh mahir daripada jumlah 4.56 juta pekerja berstatus siswazah. 

Data itu secara jelas berlakunya ketidaksepadanan pekerjaan bersama dengan latar belakang pendidikan kumpulan graduan di Malaysia. Permasalahan ini sekaligus tidak sekadar melebarkan jurang pendapatan yang tersedia tetapi turut mengakibatkan kemahiran tinggi anak muda ini tidak dapat digunakan sepenuhnya – berikutan kekangan penawaran pada pasaran pekerjaan. 

Akan tetapi penulis akui, isu ini tidak sekadar menuntut peranan sektor ekonomi semata-mata, namun sektor pendidikan negara juga wajar mempelbagaikan peranan mereka – melalui tindakan menawarkan pengkhususan kemahiran setimpal dengan keperluan pasaran semasa di Malaysia dan merancakkan kolaborasi bersama pemain industri untuk ketahui permintaan semasa secara berkala.

Lebih 2 Juta Rakyat Malaysia Berpendapatan Bawah RM2,000

Walaupun negara telah bergerak maju ke arah pendigitalan, namun isu penetapan gaji dalam kalangan pekerja kekal menjadi topik utama di setiap masa. Tahukah anda, data untuk 3 bulan pertama tahun 2023 telah menunjukkan – lebih 2 juta rakyat Malaysia bergaji bawah RM2,000

Lebih membimbangkan jurang ini memperincikan gaji penengah anak muda di Malaysia yang berusia antara 20 hingga 24 tahun adalahh serendah RM1,682. Angka ini untuk makluman semua, sekadar melebihi RM182 daripada kadar gaji minima yang ditetapkan negara iaitu RM1,500. 

Sementara 10.2% rakyat Malaysia berstatus pekerja formal pula menerima gaji bawah RM1,500, diikuti 50% pula menerima gaji bawah RM3,000 bagi data untuk tempoh yang sama.

Keadaan ini secara langsung memerlukan negara miliki dasar pasaran kerja yang lebih kukuh untuk Malaysia menyeimbangkan semula ketidaksamaan yang berlaku dalam pelarasan gaji di Malaysia.

84% Rakyat Tiada Simpanan Tetap Setiap Bulan – Kesan Kos Harian

Untuk terus hidup di era ketidakseimbangan ekonomi ketika ini, menurut Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 didapati 84% rakyat negara tiada simpanan tetap berikutan terpaksa penuhi perbelanjaan kos harian. 

Malah kebanyakkan rakyat negara sekadar melaksanakan simpanan untuk jangka pendek sahaja, sebelum bertindak mengeluarkan dana tersebut pada hujung bulan untuk menampung kos harian mereka pada tempoh tersebut. 

Keadaan ini turut diakui pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila hanya 18% daripada 15.8 juta pencarumnya dimaklumkan memenuhi sasaran simpanan asas pencen sebanyak RM240,000. Malah hanya 2.61 juta pencarum pula kini telah mencapai sasaran sedemikian. 

Ini secara jelas menunjukkan rakyat negara masih tidak bersedia ke arah persaraan yang lebih mampan. Tambahan menjelang tahun 2030,untuk makluman pembaca Malaysia akan berganjak ke arah status negara masyarakat menua. Maka sewajarnya kita memerlukan persiapan simpanan yang lebih kukuh, pendedahan tahap literasi kewangan yang lebih tinggi bagi memastikan persekitaran hari tua kita lebih baik dan ini tidak akan menjejaskan aliran perbelanjaan ekonomi negara.

Malaysia Kekal Kedudukan Tinggi Dalam Persepsi Rasuah Global

Kesan jurang pendapatan yang terus melebar tanpa sedar telah membawa Malaysia, terpalit akan kegiatan rasuah secara meluas diperingkat awam mahupun swasta. Ini dapat diperlihat pada Indeks Persepsi Rasuah tahun lalu yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-61.

Seperti yang umum ketahui isu rasuah global yang membabitkan Malaysia telah berlaku sejak beberapa tahun lalu. Kesan daripada isu rasuah berprofil tinggi seperti 1MDB, SRC International sekaligus telah menyebabkan prestasi integriti negara masih lagi rendah dengan perolehan skor 47 daripada 100 di bawah data pemerhati dunia Transparent International.

Maka untuk melenyapkan status tersebut, pelbagai tindakan perlu dilaksanakan negara. Tidak sekadar menambahbaik pendidikan amalan rasuah mahupun menguatkuasakan perundangan. Namun pelarasan jurang pendapatan wajar dilaksanakan, dengan menawarkan kadar upah yang lebih bertepatan dan bermaruah demi mengelakkan aspek ini menjadi pendorong tercetusnya aktiviti rasuah kalangan penduduk negara.

Malaysia Terus Terjerat Dalam Status Pendapatan Pertengahan – Selama 31 Tahun

Menurut Bank Dunia berdasarkan status pendapatan semasa bersama 195 buah negara, Malaysia masih mengekalkan status pendapatan pertengahan tinggi selama 31 tahun. Ini bermakna sejak tahun 1992 lagi, Malaysia tidak berganjak dari status pendapatan tersebut.

Namun perlu difahami untuk mengekalkan status sedemikian dalam tempoh yang panjang bukanlah suatu perkara yang mudah akan tetapi negara perlukan langkah yang lebih produktif untuk mengatasinya. Ini kerana sekiranya status sedemikian kekal berterusan, ia seolah bercanggah dengan matlamat Malaysia untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030 kelak. 

Bagi merealisasikan matlamat ini, penulis melihat Malaysia wajar menggandakan usaha dalam menghasilkan segmen produk baharu. Ia secara langsung dapat menjadikan negara antara peserta pengeksport global baharu, selari dengan kebanyakan negara maju. Usaha ini secara langsung akan memungkinkan Malaysia meraih nilai eksport yang lebih tinggi secara berperingkat dan siapa tahu kedudukan Malaysia akan lebih keterdepan di masa hadapan.


Demikianlah cabaran kebebasan yang didepani rakyat Malaysia pada era ini, meskipun bebas daripada naungan penjajah namun kebebasan dalam arena ekonomi masih memiliki pelbagai onak dan durinya. Namun untuk bebas daripada jurang ini, Malaysia harus memperkasa lebih banyak peluang ekonomi. Bak kata pepatah, “Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” itu bermakna, kalau Malaysia tidak teruskan usaha berdaya saing, manakan dapat hasilnya.