Dalam usaha membanteras isu rasuah di peringkat global, Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 pada senarai Indeks Persepsi Rasuah 2022.
Kedudukan itu memperlihatkan negara naik satu anak tangga, berbanding senarai 2021 di kedudukan ke-62. Walaupun kedudukan menampakkan positif, namun skor indeks persepsi rasuah negara itu dilihat lebih rendah berbanding tahun 2021. Menurut badan pemerhati rasuah dunia Transparent International ini, skor rasuah Malaysia telah menurun kepada 47 daripada 100 skor.
Kedudukan ini secara langsung menunjukkan persepsi ke atas aktiviti rasuah negara kekal tinggi dan tahap integriti masih lagi rendah. Selain negara, didapati lebih dua pertiga daripada 180 buah negara yang terlibat turut memaparkan markah di bawah 50 skor. Malah 155 buah negara pula didapati tidak mencapai kemajuan dalam usaha membanteras rasuah pada pasaran negara masing-masing.
Seperti yang umum ketahui, Malaysia pernah berdepan isu rasuah berprofil tinggi – antaranya 1MDB, SRC International dan beberapa isu berbangkit lain.
Selain Malaysia, negara jiran Indonesia juga memaparkan penurunan kedudukan indeks iaitu di tangga ke-110. Manakala Vietnam semakin pulih naik ke tangga 77, diikuti Thailand naik ke tangga 101.