Artikel

Hampir 200,000 Siswazah Negara Menganggur – DOSM

Tempoh pemulihan pada tahun 2021, ternyata telah memperlihatkan peningkatan siswazah pada penyertaan dalam pasaran buruh Malaysia dengan seramai 4,569,100 pekerja berpendidikan tinggi.

Mengikut perkongsian data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersempena sambutan Merdeka Ke-65 ini – memperincikan seramai 3.71 juta siswazah adalah pekerja tahap mahir, 1.77 juta siswazah pula di tahap separuh mahir dan seramai 128,979 siswazah pula pekerja di tahap kemahiran rendah.

Melihat pada jumlah tersebut – ini bermakna ramai siswazah negara berjaya menempatkan diri mereka pada skop setara dengan pendidikan.

Akan tetapi terdapat 197,400 siswazah pula masih lagi ditakrifkan menganggur. Bagaimanapun tidak diperincikan tempoh pengangguran dan status aktif permohonan pekerjaan mereka.

Seterusnya, mengikut pemerhatian permintaan buruh pula ternyata kekosongan jawatan bagi pasaran pekerjaan Malaysia semakin meningkat ke 183,600 kekosongan. Namun majoritinya menawarkan pekerjaan di tahap separuh mahir (102,700 kekosongan) diikuti pekerjaan tahap mahir (42,900 kekosongan) dan pekerjaan tahap kemahiran rendah (38,000 kekosongan).

Data ini secara langsung mencerminkan pasaran buruh negara masih memiliki kekurangan dalam mengimbangi penawaran pekerjaan mengikut hasil graduan yang telah dicapai pada setiap tahun. Namun isu ini tidak sekadar melibatkan peranan sektor ekonomi semata bahkan sektor pendidikan juga perlu memainkan peranan dalam menawarkan pengkhususan setimpal dengan keperluan pasaran semasa.