Seperti yang dijangka pada awal Ogos lalu, Grab kini dilihat akan memasuki penyenaraian awam di Amerika Syarikat (AS) pada awal Disember tahun ini, 2021.
Pengaturan penyenaraian unicorn Singapura itu sedang dirancang bersama Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) iaitu Altimeter Growth, di mana pihaknya memaklumkan akan melaksanakan satu mesyuarat agung pada 30 November ini bagi perolehi kelulusan gabungan daripada pemegang saham.
Melalui kelulusan pemegang saham itu, ia akan membawa kepada penggabungan dan Grab akan melakukan penampilan pertamanya secara terbuka di paparan NASDAQ.
Berdasarkan fasa mengfailkan penyata pendaftaran kepada Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS, kedua-dua pihak itu telah mengisytiharkan penyata pendaftaran Grab adalah terjamin, sekali gus membuka jalan bagi perjanjian tersebut.
Menerusi penyenaraian Grab ini, ia akan membuka peluang kepada pelabur AS meneroka pelaburan di rantau Asia Tenggara yang kurang diwakili dalam pasaran saham global.
Malah penyertaan Grab pada penyenaraian juga boleh menjadi penanda aras kepada penilaian startup Asia Tenggara yang lain yang turut berhasrat melaksanakan penyenaraian di AS dalam masa terdekat.
Setakat ini, Altimeter Growth menilai Grab akan menerima AS$4.5 bilion melalui perjanjian itu, termasuk pelaburan swasta AS$4 bilion dalam ekuiti awam, atau PIPE dari sekumpulan pelabur Asia dan peringkat global seperti Permodalan Nasional Berhad, Temasek, Fidelity serta beberapa pihak lain.
Menurut pemfailannya, Ketua Pegawai Eksekutif Grab – Anthony Tan akan menjadi Pengerusi dan CEO syarikat baharu itu, manakala Pengasas bersamanya, Tan Hooi Ling pula akan menjadi Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah. Diikuti penglibatan empat Pengarah Bebas, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Uber Technologies – Dara Khosrowshahi.
Untuk makluman, Grab kini menawarkan perkhidmatan operasi penghantaran makanan, pembayaran di Singapura, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Kemboja dan Myanmar. Melalui langkah penyenaraian awam AS ini – ia akan memberi Grab kekuatan tambahan pada pasaran bersama rakan saingannya – Gojek, Indonesia.
Terbaharu, pihaknya telah melaporkan kerugian bersih sekitar AS$988 juta, berbanding kerugian bersih AS$621 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.