Artikel

Apa Itu SPAC?

Baru-baru ini Grab bersama Altimeter sedang merancang untuk mengatur gabungan SPAC dengan nilai kiraannya hampir mencecah RM164 bilion. Tindakan itu nyata mengejutkan semua pihak.

Melihat situasi itu, mengapa Grab memilih entiti SPAC – ada apa dengan mereka?

SPAC atau Special Purpose Acquisition adalah sebuah entiti yang dibangunkan secara khusus untuk bergabung dengan mana-mana syarikat swasta, dijadikan sebagai penyenaraian awam di papan pelaburan.

Bagi yang tidak tahu, penyertaan SPAC pada papan pelaburan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Mereka telah terlibat sejak tahun 2009 lagi – namun ternyata dinamik penglibatannya mulai menaik sejak tahun 2019. Di mana peningkatan 400% telah dicatatkan sehingga tahun 2021 ini.

Menjadikan nilai pelaburan terkumpul SPAC kini sekitar AS$83 bilion. Ini adalah data spacanalytics berdasarkan pasaran semasa.

Jadi bagaimana Grab dan Altimeter mengorak langkah ke arah gabungan SPAC tersebut? Ini 5 langkah yang di atur SPAC bersama bakal syarikat gabungan mereka:

Pertama sekali adalah sebuah ‘syarikat’ diwujudkan – di mana ia dibentuk oleh sekumpulan pelabur dan kelompok yang dikenali dengan tujuan ingin memiliki syarikat swasta.

Seterusnya, syarikat SPAC ini akan disenaraikan secara pasaran terbuka melalui proses IPO, dan memiliki kelulusan dari Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran Amerika Syarikat (SEC). Untuk makluman SEC berpegang pada 3 prinsip ini iaitu melindungi pelabur, kekalkan pasaran yang adil, teratur dan cekap.

Setelah itu, langkah ketiga memperlihatkan pengumpulan dana dilakukan SPAC. Apabila SPAC memasuki pasaran papan pelaburan, orang awam akan mulai melabur pada SPAC – bagaimanapun pengumpulan dana pelaburan itu tidak dikongsikan secara menyeluruh tentang sasaran syarikat swasta yang ingin digabung bersama mereka.

Erti kata mudah – berkemungkinan SPAC menyatakan sasaran mereka adalah tertumpu kepada sektor teknologi. Tetapi masih tidak dinyatakan syarikat mana yang menjadi pilihan mereka.

Maka, selepas tempoh masa dalam kitaran 24 bulan iaitu 2 tahun, SPAC akan mula mengenalpasti sasaran syarikat swasta yang ingin digabungkan.

Dan langkah terakhir setelah mendapat persetujuan bersama, SPAC dan syarikat swasta tersebut terus melaksanakan penggabungan. Syarikat gabungan baharu itu akan terus diperdagangkan atau penyenaraian secara terbuka di papan pelaburan.

Apa Beza SPAC dengan IPO Tradisional?

Penulis pasti ada pembaca yang keliru akan perbezaannya dengan IPO – iaitu Tawaran Awam Permulaan.

Secara mudahnya proses IPO dilihat lebih tradisional dan memiliki pelbagai lapisan proses. Sementara SPAC pula memudahkan syarikat swasta untuk disenaraikan pada papan pelaburan.

Antara lapisan proses IPO yang dapat disimpulkan adalah ia lebih mahal. Di mana terdapat pengenaan caj pada syarikat yang bertanggungjawab mencari bank atau institusi kewangan untuk tanggungan risiko insurans – caj tersebut sekitar 4% hingga 7% iaitu AS$1.5 juta hingga AS$100 juta dari hasil pertumbuhan IPO. Ia bergantung kepada saiz perjanjian mereka.

Tidak hanya itu, kos bagi fasa pengfailan pelbagai peraturan kertas kerja, bahagian perkiraan juga turut akan dikenakan kos yang tinggi.

Malah, proses IPO tradisional dilihat memakan masa yang lebih panjang – apabila anggaran untuk tempoh perancangan adalah sekitar 6 bulan hingga 12 bulan, setelah itu proses IPO pula memakan masa 6 bulan hingga 9 bulan kemudian.

Maka, tidak hairanlah mengapa Grab bersama Altimeter mengorak langkah sedemikian. Ini kerana, melalui langkah penyenaraian awam SPAC itu – ia akan memberi Grab kekuatan tambahan pada pasaran teknologi dan aplikasi berhubung seru-pandu serta penghantaran kurier.

Ia akan mempercepatkan usahanya dalam memperluaskan persaingan pada pasaran global.