Artikel

Grab, Altimeter – Atur Langkah Gabungan SPAC Dengan Nilai Sekitar RM164 Bilion

Grab kini merancang untuk melakukan kerjasama gabungan dengan Altimeter ke penyenaraian awam Amerika Syarikat (AS) pada papan NASDAQ dengan nilai hampir AS$40 bilion iaitu sekitar RM164 bilion.

Untuk makluman Altimeter adalah entiti yang berpangkalan di AS – menerusi perjanjian dengan Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) mereka, ia akan menjadikan perjanjian ini sebagai ‘Blank Check Company’ terbesar yang pernah dilakukan.

Kerjasama ini difahamkan merangkumi pelaburan pada ekuiti awam (PIPE) sekitar AS$4 bilion dari sekumpulan pelabur Asia dan peringkat global seperti Permodalan Nasional Berhad, Temasek, Fidelity serta beberapa pihak lain.

Melalui langkah penyenaraian awam AS ini – ia akan memberi Grab kekuatan tambahan pada pasaran bersama rakan saingannya – Gojek, Indonesia.

Seperti yang umum ketahui, Gojek kini sedang menghampiri perbincangan berhubung penggabungannya bersama Tokopedia iaitu platform e-dagang.

Mengenai Grab – meskipun pendapatan bersihnya memaparkan peningkatan pada tahun lalu namun ia masih diperlihat kurang menguntungkan. Namun kadar kebergantungan pada perniagaan penghantaran makanan mampu memberi pulangan kepada entiti, berikutan peralihan permintaan pengguna di kala pandemik lebih tertumpu kepada pesanan atas talian. Bagaimanapun jangkaan untuk penurunan permintaan masih boleh berlaku setelah pasca pandemik kelak.

Untuk makluman Grab telah memperluaskan operasi pada 8 buah negara meliputi perkhidmatan ke 398 buah bandar – ini menjadikan ia sebagai syarikat paling berharga di Asia Tenggara.

Tidak hanya memberi tumpuan kepada perkhidmatan penghantaran makanan – kini Grab mulai menawarkan kepelbagaian pada perkhidmatan mereka dari segi segmen penghantaran barangan, pengenalan transaksi digital bersama e-dagang yang lain serta pengenalan pembiayaan BNPL kepada pengguna mereka.