Artikel

Grab Catat Kerugian Bersih Hampir AS$1 Bilion – Bagi Suku Ketiga

Walaupun sekatan pandemik COVID-19 sejak tahun 2020 membuka peluang yang lebih baik kepada platform atas talian menjana pendapatan, namun tidak dinafikan kumpulan ini turut mengalami kesan ekonomi yang kritikal.

Grab, kini pada laporan kewangan suku ketiganya memaparkan penurunan pendapatan sekitar 9% kepada AS$157 juta dan kerugian bersih berjumlah AS$988 juta, hampir AS$1 bilion. Ia meningkat 59% lebih tinggi berbanding kerugian tahun lalu sekitar AS$621 juta.

Ini disebabkan situasi pandemik yang menyukarkan aktiviti operasi syarikat.

Tidak hanya kemerosotan itu asas EBITDA iaitu Margin Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susutnilai, dan Amortisasi menunjukkan kerugian bagi suku ini adalah berjumlah AS$212 juta – ini meningkat 66% berbanding tahun 2020.

Malah menurut Ketua Eksekutif Anthony Tan berdasarkan 8 pasaran Grab, 6 daripadanya mengalami kesan yang tinggi susulan sekatan COVID-19. Melalui pengamatan, impak yang ketara dapat diperlihatkan di Vietnam apabila jumlah dagangan kasar (GMV) hampir mencatatkan paras sifar bagi keseluruhan data suku ketiga.

Bagaimanapun susulan kelonggaran dilaksanakan – Grab kini kembali melihat lonjakan yang mendadak pada pemintaan perkhidmatan mereka. Bagi bulan pertama suku keempat, Grab telah melihat peningkatan 26% berbanding suku ketiga.

Aliran ini turut disokong susulan purat perbelanjaan bagi setiap pengguna telah meningkat 43% tahun-ke-tahun. Ia adalah rekod tertinggi Grab.

Sementara khidmat kewangan, perolehan hasil termasuk Grab Financial Group,  kekal mencatatkan keuntungan yang lebih rendah. Grab memaklumkan akan terus mempergiatkan khidmat kewangan mereka setelah ekonomi global mencapai pemulihan.

Seterusnya, sudah pasti segmen penghantaran menjadi kekuatan Grab tatkala menerima persaingan yang tinggi di pasaran ketika pandemik. Segmen ini telah menunjukkan peningkatan pendapatan 58% kepada AS$49 juta. Kerugian yang didepani juga memaparkan penurunan.

Grab menjangkakan kestabilan pertumbuhan segmen penghantaran akan terus kukuh dan akan meningkat pada permintaan Disember kelak.

Untuk makluman, setakat September Grab memiliki kecairan tunai sejumlah AS$5.2 bilion. Sementara paras hutang pula mencatatkan paras AS$2.2 bilion, ia susulan terma kemudahan pinjaman yang akan diselesaikan pada Januari kelak.