Artikel

Belanjawan 2022 – Apa Jangkaan Orang Malaysia?

Berbaki 2 hari lagi, sebelum tibanya hari pembentangan Bajet 2022 atau Belanjawan 2022 – pada 29 Oktober ini, sudah pasti pelbagai aspek akan diberi tumpuan oleh rakyat negara di sidang maya Parlimen Malaysia kelak.

Berdasarkan perkongsian Pra-Bajet sebelum ini – Tengku Zafrul Menteri Kewangan Malaysia telah menggariskan 3 fokus utama yang akan diteliti pentadbiran negara, ianya adalah Agenda Pemulihan Ekonomi, Membina Semula Ketahanan Negara, Memangkin Pembaharuan.

Meskipun gambaran tersebut membawa kepada pemulihan ekonomi bagi pasca-pandemik, namun penulis kira terdapat beberapa sasaran yang wajar diberi keutamaan oleh pentadbiran khususnya agihan belanjawan kali ini.

Ini 7 saranan tersebut:

#1 Suntikan Fiskal Langsung – Sokongan Dana Tunai Harus Pertingkatkan

Untuk makluman pembaca yang kurang jelas akan makna Suntikan Fiskal Langsung – ia adalah agihan wang tunai yang disediakan oleh kerajaan Malaysia. Erti mudahnya, ia adalah bantuan berbentuk wang ringgit kepada rakyat negara.

Di bawah segmen tersebut pada tahun ini – Kementerian Kewangan (MOF) telah menyatakan suntikan fiskal dan bukan-fiskal negara adalah sekitar RM530 bilion. Namun – bagi agihan dana fiskal langsung, hanya sekadar RM91.8 bilion sahaja dicapai oleh kerajaan negara.

Melihat situasi, penulis berpendapat aturan suntikan fiskal langsung wajar dipertingkatkan bagi peruntukan 2022. Ia boleh diperluaskan pada pakej bantuan tunai tetapi berkonsepkan jangka masa panjang. Di mana agihan dana bulanan atau berkala dapat diberi kepada golongan B50, pekerja gig ekonomi dan para pelajar.

Seterusnya, sokongan tunai pada sektor ekonomi perniagaan juga wajar diperluaskan dan disasarkan dengan lebih baik. Seperti apa yang digariskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri ini, bahawa pemberian One-Off sememangnya tidak memadai dan pihak kerajaan telah menyatakan hasrat untuk mengagihakan modal kepada PKS Mikro.

Petunjuk itu amat baik buat semua pengedali ekonomi negara. Ini kerana selain perolehan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman, mereka juga mampu memiliki modal serta menjana kembali keuntungan operasi.

#2 Bantu Siswazah Miliki Peluang Pekerjaan Bersama Gaji Berpatutan – Landaikan Kadar Pengangguran

Jika tahun 2021, kerajaan Malaysia memberi jaminan penawaran 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Tawaran tersebut perlu digandakan bagi pembentangan Belanjawan 2022.

Ini kerana kadar pengangguran ketika ini diparas 4.8% bersamaan dengan lebih 768,000 penganggur di negara. Maka pentadbiran Malaysia perlu bersedia memperuntukan nilai perbelanjaan pekerjaan negara melebihi RM3.7 bilion pada tahun hadapan.

Langkah ini secara tidak langsung membantu siswazah negara melepaskan kebimbangan mereka berhubung peluang pada ekonomi tempatan. Namun saranan meningkatkan peluang pekerjaan tidak bermaksud penawaran gaji juga rendah.

Seharusnya, kerajaan kekal berprinsip dengan meletakkan paras gaji  mengikut pasaran semasa. Penulis begitu kesal akan tindakan kerajaan menurunkan paras gaji RM1,500 kepada RM1,200 di bawah PenjanaKerjaya 3.0 pada Julai 2021 lalu.

Tindakan itu dilaporkan untuk menambah kekosongan pekerjaan, sedangkan tugasan para pekerja masih lagi sama dan ia tidak memadai dengan nilai gaji tersebut. Seharusnya saranan ini diteliti dan dipertimbang semula, demi kepentingan ekonomi negara.

#3 Tunaikan Sasaran – Rakyat Malaysia Miliki Purata Pendapatan RM10,000 Sebulan, Menjelang 2025

Penulis terpanggil untuk mengingatkan kembali kerajaan Malaysia akan matlamat yang dilaungkan pada 27 September lalu – di mana pentadbiran negara menyasarkan perolehan purata pendapatan isi rumah sekitar RM10,000 sebulan.

Sasaran positif tersebut dijangka akan berlaku pada tahun 2025 kelak.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri seiring dengan gagasan Rancangan Malaysia Ke-12 – untuk tampil selaku negara yang berpendapatan tinggi dan memiliki kualiti hidup yang lebih baik.

Melihat pada matlamat tersebut, kerajaan seharusnya melunaskan sasaran ini dengan membentangkan bagaimana Belanjawan 2022 dapat membantu Malaysia pada 2025 ke arah tersebut. Ini turut merangkumi apakah strategi kerajaan dalam mencapai paras pertumbuhan KDNK Malaysia sekitar 4.5%-5.5% dalam tempoh 5 tahun ini.

Perincian tersebut amat penting buat rakyat negara, untuk saling berkerjasama memenuhi perolehan purata pendapatan RM10,000.

#4 Wanita Juga Penyumbang Ekonomi Malaysia – Beri Perhatian Kepada Kebajikan Mereka

Sasaran ini tidak membawa makna, kerajaan tidak prihatin kepada wanita. Namun apa yang penulis perhatikan masih wujudkan ketidaksamarataan dalam kebajikan terhadap segelintir pekerja wanita.

Seperti yang kita sedari pandemik telah menjejaskan semua pihak, akan tetapi kebanyakan pekerja wanita mulai meninggalkan kerjaya untuk memberi fokus kepada tanggungjawab keluarga. Ini dapat diperlihat pada data Jabatan Perangkaan Malaysia, di mana penurunan penyertaan pekerja wanita sebelum dan selepas pandemik COVID-19 begitu ketara.

Sejak tahun1995 lagi penyertaan wanita (biru) kekal rendah, berbanding lelaki sehinggalah tahun 2017 memaparkan peningkatan di paras 53.5% penyertaan. Dan angka tersebut terus meningkat sehingga akhir suku 2019 56.1%.

Akan tetapi kini penyertaan tersebut kembali menurun setakat suku pertama 2021 iaitu di paras 55.4%.

Keutamaan kebajikan seharusnya menjadi komponen tindak-balas kerajaan kepada penurunan penyertaan wanita dalam prospek tenaga buruh negara. Langkah ini akan mengembalikan keyakinan mereka untuk kembali berkhidmat dan menabur kemahiran pada sektor ekonomi Malaysia.

Saranan ini tidak hanya tertumpu kepada wanita yang berkerjaya sahaja tetapi turut melewati semua peringkat kategori.

Selain meningkatkan dana kepada wanita, perluasakan manfaat pekerjaan mereka juga harus diteliti kembali seperti cuti bersalin bersama gaji, pilihan aturan bekerja dari rumah dan tingkatkan kapasiti peluang bidang untuk mereka.

#5 Kesejahteraan Pendidikan Perlu Dikembalikan Semula

Hampir dua tahun, tidak hanya pelajar Malaysia tetapi seluruh dunia turut berdepan situasi peralihan pembelajaran secara maya.

Perkara ini menjadi satu kekurangan buat negara kerana tidak memiliki fasiliti peranti dan akses internet yang memadai. Secara langsung, tanpa pendidikan secara fizikal ia telah melemahkan kesejahteraan pendidikan negara. Umum perlu sedar, tidak semua pembelajaran dapat dilaksanakan melalui atas talian.

Pelbagai bidang pendidikan turut mengutamakan prestasi kemahiran teknikal dan keperluan peralatan sokongan lain – untuk memantapkan pengetahuan mereka.

Maka bagi memacu kembali kesejahteraan pendidikan, peruntukan untuk sektor pendidikan wajar diutamakan – bagi menampung kembali kadar keciciran isi rumah disebabkan tidak dapat memenuhi keperluan peranti pintar dan akses internet.

Keutamaan perbelanjaan ini juga perlu diperluaskan kepada penyelenggaraan persekolahan dan pembangunan kos kesihatan untuk petugas sekolah serta para pelajar.

#6 Sekiranya Tiada Pengenalan Cukai Baharu – Perkukuhkan Asas Cukai Negara

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri – pada awal September pernah menyatakan sasaran kutipan cukai pada 2021 adalah RM162.1 bilion. 

Tetapi prestasi kutipan jelas menunjukkan sedikit perlahan, apabila separuh pertama 2021 pungutan cukai lebih rendah dicatatkan. Ini kerana peningkatan kadar pengangguran dan prestasi perniagaan ketika itu merosot. Malah pengamatan penyelidik MIDF Research juga turut menjangkakan – tiada pengenalan cukai baharu akan dilaksanakan pada belanjawan 2022.

Sekiranya benar, pengukuhan asas cukai ke atas semua syarikat wajar diperluaskan. Ini bukan mengambil-kira keuntungan atau kepentingan negara semata-mata. Namun, keutamaan hasil negara dalam tempoh 10 tahun akan datang wajar diberi tumpuan.

Malah saranan ini turut merangkumi semakan insentif cukai yang dilaksanakan Malaysia.

Ini kerana melalui tinjauan Bank Dunia 2015 menunjukkan Malaysia begitu bermurah hati menawarkan insentif cukai. Tindakan itu telah membawa kepada kebimbangan bahawa kos insentif cukai itu adalah jumlah hasil negara yang telah diketepikan.

Penelitian pada insentif tersebut wajar dilaksanakan dari semasa ke semasa – untuk memastikan ia relevan dan berkesan kepada hasil negara

Pengajaran itu juga harus didasari berdasarkan aktiviti cukai pada tahun 2017. Meskipun lebih 2.4 juta pekerja perlu melaksanakan cukai, tetapi kurang daripada angka tersebut berbuat demikian. Pengukuhan asas hasil negara wajar dipeluaskan sama ada individu mahupun syarikat.

#7 Peruntukan Sektor Kesihatan Malaysia Perlu Kekal Tinggi – Tidak Hanya Disebabkan COVID-19

Pada pembentangan Belanjawan 2021, masyarakat melihat penekanan perbelanjaan pada sektor kesihatan amat baik. Di mana kerajaan di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini meletakkan sejumlah RM17 bilion pada Dana COVID-19.

Aturan tersebut dilihat amat baik.

Akan tetapi tindakan yang sama penulis jangkakan bakal berlaku pada tahun 2022. Meskipun kita ke arah pasca-pandemik, peruntukan untuk kesihatan perlu kekal tinggi. Pengkhususan ini mengambil kira faktor penuaan yang berlaku di Malaysia.

Setakat tahun 2020, data KRI – 2.3 juta penduduk daripada jumlah populasi telah ditakrifkan sebagai warga emas. Ini secara langsung memberi pendedahan kepada krisis kesihatan yang lebih tinggi.

Selain disebabkan faktor penuaan masyarakat negara – jumlah perbelanjaan negara selaku negara sedang membangun juga masih rendah. Jika dibandingkan dengan negara pendapatan sederhana lain. Di mana pada tahun 2018, Malaysia masih memperuntukan 3.8% berbanding paras global memerlukan peruntukan 6.8%.

Perkara ini penting untuk memastikan, tidak hanya disebabkan wabak COVID-19, tetapi peruntukan kesihatan lain turut diutamakan bermula peringkat awal kanak-kanak sehingga dewasa warga emas.