Sesi taklimat LAKSANA, Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (7 Julai) memperlihatkan lanjutan ke atas program PenjanaKerjaya 3.0 yang akan dibuka mulai 15 Julai 2021 kelak.
Lanjutan platform pekerjaan itu bagaimanapun memaklumkan – kadar gaji minimum akan diturunkan dari RM1,500 kepada RM1,200. Tindakan itu, untuk menambahkan kapasiti penawaran kekosongan kepada rakyat negara yang terkesan.
Tidak hanya itu, tempoh kontrak penggajian juga turut dikurangkan dari 12 bulan kepada 6 bulan.
Selain itu, insentif kerjaya ekonomi gig kini turut diselaraskan pihak MOF dengan perluasan skop pengambilan pekerja. Antara tumpuan insentif ini adalah memberi peluang kerjaya kepada penganggur tegar yang telah menganggur lebih 180 hari. Seterusnya pemberian RM100 turut akan diberi kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) bagi setiap penempatan pekerjaan.
Menerusi agenda ini, pihak MOF bersama PERKESO berpendapat ia mampu memberi manfaat kepada 180,000 pemohon pekerjaan.
Pada masa yang sama, setakat ini di bawah MyFutureJobs terdapat 231,667 kekosongan aktif yang masih boleh dimohon oleh orang awam, mengikut penawaran negeri.