Perbincangan mengenai gaji sentiasa menjadi topik hangat dalam kalangan pekerja di Malaysia. Apabila bercakap tentang imbuhan, dua terma yang sering kali disebut ialah gaji minimum dan gaji wajar. Walaupun kedengaran serupa, kedua-duanya membawa maksud yang sangat berbeza dan amat penting untuk difahami oleh setiap pekerja.
Apa Itu Gaji Minimum?
Gaji minimum, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, adalah jumlah pendapatan paling rendah yang sah di sisi undang-undang yang perlu dibayar oleh majikan kepada pekerjanya. Di Malaysia, Akta Gaji Minimum 2011 menjadi panduan, dengan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bertanggungjawab untuk mengkaji dan mencadangkan kadar yang sesuai.
Tujuan utama gaji minimum adalah untuk melindungi pekerja bergaji rendah dan memastikan mereka mempunyai pendapatan asas yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup asas. Ini membantu mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan memberikan jaring keselamatan kepada pekerja. Untuk Malaysia, setakat ini penetapan gaji minima di pasaran telah dinaikan kepada RM1,700 berbanding RM1,500 sebelum ini. Penetapan ini selari dengan penguatkuasaan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Gaji Wajar – Lebih Sekadar Gaji Pokok
Berbeza dengan gaji minimum yang bersifat statik dan universal, gaji wajar adalah konsep yang lebih fleksibel dan subjektif. Ia merujuk kepada jumlah pendapatan yang bukan sahaja dapat menampung kos sara hidup asas, tetapi juga membolehkan seseorang pekerja hidup dengan selesa, menyimpan wang, dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Ini merangkumi kemampuan untuk menabung, melabur, dan membina masa depan yang stabil. Konsep ini mengambil kira faktor-faktor peribadi dan luaran seperti kos sara hidup di lokasi tertentu, tahap kemahiran, pengalaman kerja, serta prestasi individu. Oleh itu, gaji wajar adalah cerminan nilai sebenar pekerja kepada majikan dan pasaran.
Di Malaysia, perbincangan mengenai gaji wajar menjadi semakin penting terutamanya di kawasan bandar besar. Ini dapat diperlihat pada data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa purata gaji bulanan di Kuala Lumpur adalah jauh lebih tinggi berbanding negeri lain dengan RM4,400 untuk suku pertama 2025, mencerminkan kos sara hidup yang berbeza. Walaupun gaji minimum ditetapkan secara seragam di seluruh negara – tetapi kos untuk menyewa rumah, pengangkutan awam, dan makanan di ibu kota memerlukan pendapatan yang lebih tinggi untuk hidup selesa. Gaji wajar ini membolehkan pekerja mempunyai lebihan pendapatan untuk tabungan kecemasan, dana persaraan, atau untuk pendidikan anak-anak, yang mana sukar dicapai dengan hanya bergantung pada gaji minimum.
Gaji Minimum VS Gaji Wajar
Jurang antara gaji minima dan gaji wajar adalah satu isu ekonomi yang ketara, terutamanya di Malaysia. Walaupun gaji minima ditetapkan sebagai satu perlindungan untuk pekerja, ia sering kali tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar.
Ketiadaan penetapan gaji wajar yang baik sekaligus tidak sekadar mengehadkan kapasiti simpanan dan kuasa beli kumpulan pekerja tetapi meningkatkan lagi risiko penyertaan pekerja negara pada amalan berhutang. Terutamanya hutang peribadi, dan tidak mampu meningkatkan taraf hidup mereka meskipun bekerja keras susulan berdepan komitmen hutang yang lebih tinggi berbanding pendapatan semasa. Ini dapat diteliti pada kajian Belanjawanku 2022/2023 yang menjelaskan kos sara hidup orang bujang di Lembah Klang naik dan perlukan sekitar RM1,930 sebulan untuk penuhi komitmen asas.
Maka tidak hairanlah mengapa desakan terus dilaksanakan ke atas pentadbiran – ia secara langsung untuk memastikan penetapan kadar gaji sentiasa diteliti bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi kekal mampan di pasaran hadapan.
Pekerja Boleh Miliki Gaji Wajar Yang Baik
Selain sekadar menyatakan melaungkan hak kita selaku pekerja untuk meraih kadar gaji wajar yang setimpal – kumpulan pekerja juga perlu mengambil inisiatif sendiri dengan meningkatkan kemahiran, tidak sekadar memiliki kelulusan berhubung bidang yang diceburi tetapi perlu meraih pengalaman, kemahiran profesional dan terbuka untuk perluas pengetahuan berhubung bidang baharu khsususnya dalam era serba teknologi ini.
Dengan memiliki kelebihan tersebut, kumpulan pekerja boleh laksana penelitian berhubung nilai pasaran semasa akan kadar gaji yang setimpal berasaskan jawatan semasa. Bersama pengumpulan data, ini dapat dijadikan sandaran ketika pekerja melaksanakan rundingan gaji kelak. Dan yang paling penting, selain mengutamakan gaji wajar yang setimpal keperluan polisi pekerjaan yang baik juga perlu diambilkira. Ini kerana kelebihan polisi yang baik, akan memberi manfaat kepada pekerja untuk meraih penambahbaikan gaji bagi jangka masa panjang.
Selain Prestasi Pekerja – Majikan Adalah Watak Utama Pada Penetapan Gaji Wajar
Benar, pemberian gaji wajar yang baik bukanlah suatu tindakan ihsan mahupun moral tetapi majikan perlu melihat tindakan ini sebagai antara pelaburan strategik. Yang mana boleh memberi pulangan lumayan pada jangka masa panjang.
Majikan yang bijak memahami bahawa gaji yang setimpal bukan hanya menarik bakat, tetapi juga mengekalkan pekerja. Ini secara langsung memberi impak positif kepada produktiviti dan kualiti kerja, menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik. Data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan bahawa gaji yang lebih tinggi sering dikaitkan dengan peningkatan produktiviti, terutamanya di negara-negara membangun, di mana pekerja yang diberi imbuhan lebih cenderung untuk kurang ponteng kerja dan lebih fokus pada tugas.
Melabur dalam gaji wajar juga membantu majikan mengekalkan bakat-bakat berkualiti tinggi dan mengurangkan kos pusing ganti pekerja (employee turnover). Kos pengambilan dan latihan pekerja baharu adalah tinggi dan memakan masa. Dengan menawarkan gaji yang kompetitif, majikan dapat mengurangkan kadar ini secara signifikan, lantas menjimatkan wang dan sumber syarikat. Usaha ini tidak hanya memberi pulangan kembali kepada operasi tetapi turut membentuk tahap keyakinan pekerja dan menjadikan mereka duta syarikat.
Secara ringkasnya, adalah penting untuk setiap pekerja memahami perbezaan antara gaji minimum dan gaji wajar. Gaji minimum hanyalah kadar gaji asas yang ditetapkan oleh undang-undang, manakala gaji wajar adalah jumlah pendapatan yang membolehkan seseorang hidup selesa dan membina kestabilan kewangan. Jurang antara kedua-dua konsep ini, terutamanya di kawasan bandar, sering kali menyebabkan pekerja bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
Pemberian gaji wajar bukan hanya tanggungjawab majikan tetapi juga merupakan pelaburan strategik yang dapat meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan kos pusing ganti, dan mengukuhkan reputasi syarikat. Oleh itu, apabila pekerja dan majikan bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran yang adil dan seimbang, ia akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kesejahteraan bersama.