Biarpun taburan upah penengah bulanan sektor formal di Malaysia telah alami peningkatan 5.5% pada Mac 2025 berbanding setahun yang lalu kepada RM3,000 – secara asasnya masih ramai pekerja negara yang kekal meraih paras gaji di bawah tekanan kos sara hidup semasa.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sekitar 27.4% Pekerja Formal di Malaysia masih menerima gaji di bawah RM2,000. Ini bermakna sekitar 1.86 juta pekerja formal di Malaysia masih berdepan paras gaji yang tidak memadai.
Walaupun data mengakui jumlah pekerja yang terlibat masih tinggi namun peratusan ini telah mengalami penurunan secara berkala, dengan alami penyusutan 3.8% berbanding data setahun yang lalu (31.2%). Perihal ini secara jelas memaparkan komitmen majikan dalam menambahbaik struktur penggajian dan usaha pekerja meraih peluang pekerjaan yang lebih tinggi berdasarkan pengalaman serta kemahiran mereka.
Data turut menunjukkan pada tempoh yang sama sekitar 11.6% daripada jumlah pekerja formal di Malaysia menerima RM10,000 atau lebih sebulan. Jumlah ini memperlihatkan hampir 800,000 pekerja formal di Malaysia memiliki pendapatan sedemikian setakat suku pertama 2025.
Sementara mengikut taburan negeri pula, Kuala Lumpur terus mendahului pada penawaran upah penengah yang terrtinggi di Malaysia dengan RM4,445, diikuti Selangor (RM3,300). Manakala negeri yang menawarkan upah penengah terendah di Malaysia pula adalah Sabah (RM2,000), Kelantan (RM1,800) dan Perlis (RM1,800).
