Selain Maybank dan Public Bank – CIMB Bank turut menjadi perbankan terawal yang memaklumkan pihaknya tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan ke atas peniaga berikutan transaksi melalui DuitNow QR.
Perkongsian kenyataan pada 27 September ini menjelaskan caj transaksi QR CIMB itu tidak akan berlaku sehingga akhir tahun ini, iaitu 31 Disember 2023.
Keputusan sedemikian adalah bertujuan untuk terus memberi sokongan kepada kumpulan peniaga dalam membantu memperkasakan lagi penggunaan pembayaran menerusi kod QR.
Melalui makluman ini, para peniaga tidak perlu gusar akan sebarang pengenaan caj tambahan. Menerusi kenyataan itu, ini secara langsung menjadikan terdapat 3 perbankan utama negara yang telah mengecualikan fi tersebut bagi memudahkan proses urus-niaga penjual bersama pengguna di pasaran Malaysia.
Susulan makluman ini, PayNet – Payments Network Malaysia iaitu pengendali disebalik DuitNow memberi peringatan kepada semua peniaga untuk merujuk kepada perbankan berkaitan akan pelaksanaan caj transaksi melalui penerimaan bayaran daripada DuitNow QR ini. Meskipun pihaknya mengesahkan caj tersebut dikuatkuasakan pada 1 November namun perbankan masih boleh mengecualikan pengenaan tersebut sehingga suatu tempoh.