Artikel

KAF Investment Rancang Lancar Bank Islamik Digital – Menjelang Akhir 2023 Ini

Konsortium yang diketuai KAF Investment Bank seperti yang umum ketahui – menjadi antara 5 penerima lesen bank digital negara yang dianugerahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 29 April 2022 lalu. Kini usaha melancarkan bank Islam digital dijangka akan berlaku pada akhir tahun ini atau seawal tahun 2024.

Makluman yang dikongsikan rakan konsortiumnya iaitu syarikat unikorn tempatan, Carsome menjelaskan tarikh pelancaran tersebut ketika ini sedang dimuktamadkan.

Selain Carsome, turut serta pada perkongsian bank Islam digital tersebut adalah Jirnexu, dan MoneyMatch. Perkongsian bersama KAF Investment Bank ini adalah selari dengan perolehan lesen bank digital di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).

Pihaknya pada laporan TechNodeGlobal menjelaskan sekiranya kumpulan ingin menjadi terawal dalam pelaksanaan bank digital, tempoh akhir tahun ini dan awal tahun 2024 akan menjadi masa terbaik untuk pihaknya melancarkan bank digital Islam tersebut. Pada persediaan awal, pada Mei 2022, KAF Investment telah melantik Rafiza Ghazali selaku CEO bagi menerajui segmen bank Islam Digitalnya.

Selain KAF Investment Bank, didapati konsortium antara RHB Bank dan Boost Holding turut akan melancarkan bank digital mereka menjelang akhir tahun ini.