Artikel

Bank Negara Secara Rasminya Umum 5 Penerima Lesen Bank Digital

Akhirnya setelah penantian sekian lama, Bank Negara Malaysia (BNM) kini secara rasmi mengumumkan 5 penerima lesen bank digital negara yang telah diluluskan oleh Menteri Kewangan Malaysia. Ianya terdiri daripada;

Pertama – Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK):

  • Konsortium Boost Holdings Sdn. Bhd. dan RHB Bank Berhad;
  • Konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte. Ltd. dan Kuok Brothers Sdn. Bhd; dan
  • Konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd;

Kedua – Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI):

  • Konsortium AEON Financial Service Co., Ltd., AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc,; dan
  • Konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn. Bhd.

Untuk makluman 3 daripada 5 konsortium ini dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank Berhad, Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn. Bhd. dan KAF Investment Sdn. Bhd.

BNM memaklumkan kesemua 29 pemohonan yang diterima telah dinilai secara menyeluruh mengikut seksyen 10 (1) APK dan APKI, yang menghendaki BNM mengambil kira semua faktor dalam Jadual 5 Akta-akta tersebut dan keperluan dasar lain yang berkaitan.

Berikutan pengumuman ini, pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi. Proses ini mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan.

Sejajar dengan lima teras strategik yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, BNM akan terus bekerjasama dengan industri kewangan dan fintech serta pihak berkepentingan yang berkaitan untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kewangan di seluruh negara dan merentas semua segmen masyarakat.

Adanya penawaran lesen bank digital ini ia boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih khusus berteraskan analisis data. Malah dan berupaya menyediakan cara membuat transaksi yang lebih selamat dan mudah.