Artikel

KAF Investment – Lantik Rafiza Ghazali Selaku CEO, Terajui Bank Islam Digital

Setelah memaklumkan penamatan khidmatnya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle, berkuat kuasa pada 31 Mei kelak – kini Rafiza Ghazali menerima lantikan KAF Investment Bank selaku CEO Bank Islam Digitalnya.

Pada makluman awal, Rafiza akan sertai sebahagian daripada pasukan projek bank islam digital KAF Investment Bank terlebih dahulu sebelum proses perbadanan entiti bank digital ini tersedia.

Adanya penyertaan Rafiza, ini akan membantu tenaga KAF Investment Bank untuk meningkatkan kecekapan pimpinan perbankan digital mereka. Pengetahuan luas berhubung inovasi dan teknologi kewangan Malaysia, akan membantu syarikat membina platform perbankan digital KAF.

Buat pengetahuan umum sebelum melepaskan komitmen di Cradle Fund, Rafiza memiliki pengalaman besar berhubung arena kewangan. Antaranya bersama Pengurusan Danaharta Nasional, Bank Negara Malaysia, RHB Investment, Thomson Reuters dan Cagamas.

Seperti yang semua sedia maklum, KAF Investment Bank telah tampil antara 5 penerima lesen bank digital negara pada 29 April lalu, oleh BNM. Penganugerahan lesen bank digital KAF ini adalah tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).