Artikel

Harga Gandum Kini Naik – Paras Tertinggi Dalam Tempoh 13 Tahun

Tahukah anda, negara Rusia dan Ukraine adalah antara pembekal utama untuk bahan pertanian ke pasaran Asia serta Asia Barat dan kedua negara tersebut adalah pengeluar 25% gandum di peringkat global.

Namun kini, kedua negara sedang mengalami pertelingkahan politik – tanpa sedar ia telah mengundang kepada ketirisan sumber makanan dunia.

Mengikut laporan Bloomberg, harga gandum kini mulai meningkat ke paras tertinggi kepada $9.4350 setakat 25 Februari, dalam tempoh 13 tahun data catatannya. Perkara ini sekaligus membawa kebimbangan kepada warga dunia berhubung faktor inflasi.

Tidak hanya gandum, kedua negara juga menjadi penyumbang 80% pada sumber eksport minyak bunga matahari. Ini sekaligus bakal membawa impak yang besar untuk sektor pertanian global, termasuklah Malaysia.

Malaysia pada minggu ini turut berdepan dengan pelbagai kenaikan harga pengeluaran pertanian. Antaranya kenaikan harga bahan makanan ternakan seperti jagung import yang secara langsung telah membawa kepada kenaikan harga bahan mentah seperti ayam dan telur.

Meskipun pentadbiran negara menjanjikan isu kenaikan harga yang sedang berlaku ini akan berakhir dalam tempoh 4 bulan mendatang iaitu dijangka Mei 2022. Akan tetapi konflik yang melanda antara Rusia-Ukraine ini disasar bakal melanjutkan lagi tempoh peningkatan harga bahan mentah negara dan di peringkat dunia.