Pada November lalu, Grab – syarikat unicorn milik Singapura ini telah memaklumkan ketersediaan mereka untuk ke arah penyenaraian di Amerika Syarikat seawal Disember 2021.
Ternyata perkara itu akan berlaku pada 2 Disember ini, iaitu esok.
Langkah penyenaraian itu dicapai setelah menerima sokongan daripada pemegang saham berhubung tindakan gabungan Grab bersama Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) iaitu Altimeter Growth.
Untuk makluman, majoriti pemegang saham menyokong aturan ini dan ia secara langsung akan meletakkan Grab di papan Nasdaq.
Berdasarkan fasa mengfailkan penyata pendaftaran kepada Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS, kedua-dua pihak itu telah mengisytiharkan penyata pendaftaran Grab adalah terjamin, sekali gus membuka jalan bagi perjanjian tersebut.
Menerusi penyenaraian Grab ini, ia akan membuka peluang kepada pelabur AS meneroka pelaburan di rantau Asia Tenggara yang kurang diwakili dalam pasaran saham global.
Malah penyertaan Grab pada penyenaraian juga boleh menjadi penanda aras kepada penilaian startup Asia Tenggara yang lain yang turut berhasrat melaksanakan penyenaraian di AS dalam masa terdekat.
Buat pengetahuan pembaca, Grab menawarkan perkhidmatan operasi penghantaran makanan, pembayaran di Singapura, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Kemboja dan Myanmar. Melalui langkah penyenaraian awam AS ini – ia akan memberi Grab kekuatan tambahan pada pasaran bersama rakan saingannya – Gojek, Indonesia.