Artikel

Penggunaan Mata Wang Digital China, e-CNY – Kini Catat Jumlah Transaksi AS$9.7 Bilion

Sekiranya setakat Julai 2021, lebih 10 juta penduduk China telah mula menggunakan mata wang digital yuan iaitu e-CNY – kini penggunaan mata wang digital tersebut telah mula diperluaskan.

Apabila setakat Oktober 2021, kira-kira 140 juta penduduk China telah mula membuka dompet digital yuan dan mencatatkan penggunaan jumlah transaksi di paras AS$9.7 bilion (62 bilion yuan).

Menurut Ketua Pengarah Institut Mata Wang Digital People’s Bank Of China (PBOC), Mu Changchun – usaha penerapan ini bertujuan memajukan sistem kewangan negara, untuk menangkis persaingan daripada aset digital lain seperti kriptowang.

Melalui usaha ini ia turut akan mempercepatkan kaedah pembayaran di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sehingga kini, PBOC memaklumkan sekitar 1.55 juta peniaga China berupaya menerima pembayaran menerusi dompet digital e-CNY. Ia meliputi pelbagai perkhidmatan seperti pengangkutan, peruncitan, makanan, utiliti dan khidmat kerajaan.

Untuk makluman pembaca – pengenalan awal e-CNY mula diperkatakan apabila China ini menguji penggunaan mata wang digital yuan pada Temasya Olimpik  Musim Sejuk 2022 kelak.

Setelah itu, ia mula mendapat perhatian pengendali kewangan dunia. Antaranya Jepun menyifatkan tindakan ini akan memberi kesan kepada kadar kemajuan sistem ekonomi dunia.

Di kala China telah mula melaksanakan penerapan, Bank of Japan (BOJ) pula pada akhir Jun 2021 masih diperingkat awal untuk pengenalan pelan penggunaan mata wang digital ini.