Artikel

Kemajuan China Ke Arah Penerapan Mata Wang Digital, Cetus Kesan Kepada Sistem Ekonomi – Laporan

China sebelum ini, diperkatakan sedang menguji penerapan penggunaan mata wang digital (CBDC) yang dikenali sebagai digital China Yuan (e-CNY) pada acara temasya Olimpik Musim Sejuk 2022 kelak.

Ini bermakna People’s Bank of China (PBOC) sedang mempercepatkan usaha mereka dalam memperluaskan mata wang digital bagi memajukan sistem kewangan.

Berdasarkan laporan CNBC, Li Bao – Timbalan Gabenor People’s Bank Of China (PBOC) menyatakan tujuan penerapan  penggunaan wang digital itu adalah menggantikan transaksi wang tunai dan syiling, ia meningkatkan pembayaran nirtunai (tanpa tunai) di China. Ia bukan kriptowang dan tidak seperti bitcoin.

Menyedari kelebihan itu, menurut laporan Reuters mantan Pengawal Selia Kewangan Jepun – Toshihide Endo, melihat tindakan ini akan memberi kesan kepada kadar kemajuan sistem ekonomi dunia. Di kala China telah mula melaksanakan penerapan, Bank of Japan (BOJ) pula masih diperingkat awal untuk pengenalan pelan CBDC ini.

Endo yang juga berperanan selaku Pensuruhjaya Agensi Perkhidmatan Kewangan (FSA) – sentiasa memantau pengaturan peraturan meliputi penyertaan bank dan mata wang digital.

Meskipun Amerika Syarikat menyatakan keraguan berhubung pengenalan sedemikian, namun Jepun melihat ia suatu komponen yang memiliki potensi – mengubah dinamik ekonomi dunia.

Buat masa ini, penggunaan wang digital Yuan telah diterapkan di beberapa kawasan seperti Shenzhen dan Beijing.