Dasar monetari sesebuah negara adalah merujuk kepada kerangka rangsangan pertumbuhan ekonomi tempatan, ia meliputi suntikan dana untuk meningkatkan perbelanjaan orang awam dan melonjakkan pelaburan modal.
Susulan kehadiran pandemik COVID-19 – dan jangkaan pertumbuhan Malaysia bagi 2021 menurun di paras 3% hingga 4%, Bank Negara Malaysia (BNM) buat masa ini dijangka tidak akan mengetatkan dasar monetari negara.
Penekanan dasar monetari ini perlulah bertepatan dengan situasi pemulihan negara dan dinamik pasaran global. Firma penyelidikan CGS-CIMB, melihat dasar monetari hanya akan kembali normal menjelang separuh kedua 2022 kelak, iaitu pertengahan tahun hadapan.
Ini kerana, sasaran itu meliputi peralihan beberapa negeri kepada Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Peralihan itu akan memperlihatkan prestasi keuntungan ekonomi yang lebih baik dicatatkan, berbanding negeri di bawah Fasa 1, 2 dan 3.
Semua pihak ketahui, peralihan Fasa 4, membawa erti – pembukaan menyeluruh sektor ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan. Pemerhatian prestasi ekonomi bagi negeri di Fasa 4 ini akan membantu negara mempelbagaikan lagi sokongan fiskal dan kewangan, untuk membantu merancakkan kembali pertumbuhan.
Setakat ini, BNM masih mengekalkan paras OPR pada 1.75%, pengekalan Kadar Dasar Semalaman ini telahpun dilakukan sejak 7 Julai lalu. Penetapan paras itu adalah seiring dengan jangkaan pasaran. Berdasarkan sasaran, mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari pada tahun ini, dijadualkan berlangsung 2 November atau 3 November kelak.