Artikel

Apa Itu OPR?

OPR atau dikenali sebagai Overnight Policy Rate, Kadar Dasar Semalaman ini adalah sebuah kadar yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas pinjaman dana pada seluruh bank di Malaysia.

Untuk makluman pembaca, penetapan kadar dasar semalaman ini adalah dibawah pengurusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM.

Peranan OPR ini dapat dilihat apabila bank melakukan pinjaman dari perbankan lain disebabkan kekurangan kadar dana simpanan perkhidmatan mereka.

Kesan OPR Naik

Bagi kenaikan kadar OPR ia meliputi dua kesan terhadap individu peminjam iaitu tempoh pembayaran menjadi lebih panjang ataupun kadar pembayaran semakin tinggi.

Tindakan itu sememangnya tidak memberi pengguna pilihan yang baik.

Bagaimanapun kenaikan pada kadar OPR adalah menunjukkan langkah bank pusat dalam menyeimbangkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Di mana meningkatkan kadar OPR, perbelanjaan aliran tunai negara semakin perlahan dan ia secara terus dapat meningkatkan simpanan negara.

Kesan OPR Turun

Kebiasaannya apabila kadar OPR semakin menurun, ini menunjukkan kedudukan ekonomi dunia tidak stabil. Malah keadaan pandemik COVID-19 ketika ini turut menjadi faktor utama dalam menyumbang kepada kegawatan tersebut.

Penurunan OPR juga adalah bersifat positif. Ini kerana, ia menunjukan inisiatif bank pusat untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara kembali pulih.

Dengan adanya pengurangan ini ia mampu mengukuhkan semula dasar fiskal negara.

Umum ketahui sebelum ini kadar OPR negara adalah 1.75% sejak 7 Julai 2020, dan BNM mengekalkan kadar tersebut berikutan ekonomi negara berada pada fasa pemulihan.

Tindakan itu secara langsung membantu rakyat membayar kadar faedah pada tahap yang lebih rendah, sekaligus faktor ini meningkatkan simpanan rakyat negara. Penawaran moratorium ke atas pinjaman turut membantu inisiatif tersebut.

Seterusnya, penurunan OPR sedikit sebanyak mampu meningkatkan semula aliran tunai perbelanjaan rakyat negara. Kadar faedah yang lebih rendah pada pinjaman sewa beli, peribadi mahupun kad kredit mampu mengurangkan bebanan rakyat.

Ia secara terus dapat merangsang semula ekonomi negara.

[Kemas-Kini] OPR September 2022: 2.50%

Terbaharu, BNM pada tanggal 8 September 2022 telah mengumumkan kenaikan OPR daripada 2.25% kepada 2.50%. Ini bermakna, setelah hampir 2 tahun – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM telah mencapai sepakat meningkatkan semula nilai OPR negara.

Ini adalah kenaikan kali ketiga OPR di Malaysia sejak Januari 2022.

Kenaikkan OPR ini menurut BNM adalah sebahagian daripada usaha bank pusat negara untuk melandaikan kembali kenaikan kos yang berlaku dalam pasaran negara. Situasi tersebut akan membantu menyeimbangkan kembali ekonomi negara.

Setakat ini, ekonomi Malaysia memaparkan petunjuk pertumbuhan negara yang lebih kukuh – didorong prestasi eksport yang semakin mampan, pasaran buruh yang semakin meningkat serta prospek pendapatan negara yang semakin pulih.

Akan tetapi BNM turut akui, risiko pertumbuhan kekal wujud buat Malaysia maka sikap pemantauan secara berkala akan terus diperhatikan bank pusat. Bagi memastikan kesejahteraan ekonomi dapat dilindungi.


Secara keseluruhannya, walaupun kadar OPR menunjukkan krisis ekonomi dunia semakin teruk – namun ia juga antara langkah yang baik bagi membantu memulihkan semula pertumbuhan ekonomi negara. Baik tinggi mahupun rendah. Rakyat seharusnya menggunakan peluang ini untuk membina semula kewangan peribadi masing-masing.