Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini dalam usaha beralih keluar daripada pandemik Covid-19, dan kembali kepada norma kehidupan harian biasa. Selari dengannya, hari ini, Perdana Menteri telah mengumumkan yang mana kita akan mula mengikut fasa PPN ini secara berperingkat mengikut indikator yang telah diumumkan sebelum ini.
Selari dengannya juga, sidang khas MKN hari ini turut berkongsi sejumlah SOP yang terlibat mengikut fasa – termasuk sektor yang dibenarkan beroperasi mengikut setiap fasa berkenaan. Fasa ini beralih mengikut indikator yang telah ditetapkan, walaupun terdapat beberapa jangkaan tempoh masa untuknya.
PPN Fasa 1
Bagi perincian SOP – PPN Fasa 1, SOP am PKP3.0 masih diguna pakai yang mana semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor-sektor perlu yang disenaraikan dalam senarai positif yang dikeluarkan MKN.
Buat masa ini hanya operasi perniagaan makanan sahaja dilanjutkan kepada jam 10 malam, mulai 28 Jun.
- purata kes harian COVID- 19 menurun di bawah 4,000 kes
- kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana
- kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10%.
PPN Fasa 2
Sementara Fasa Kedua PPN pula, terdapat beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi:
- Sektor Pembuatan – Automotif (Kenderaan & Komponen), Getah, Seramik, Besi & Keluli, Kilang Perabot (tujuan eksport) dan Simen
- Sektor Perdagangan & Pengedaran – Kedai Buku & alat tulis, Kedai cuci kereta, Barangan elektrik dan Kedai gunting rambut (perkhidmatan asas sahaja).
- Pasar Tani & Pasar Pagi – meliputi 6 komoditi sayur-sayuran,buah-buahan,barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.
- Semua aktiviti sukan, rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan dibenarkan.
Kebenaran ini meliputi jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam untuk sektor pembuatan dan perdagangan, sementara operasi pasar tani dan pagi pula hanya pada jam 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi sahaja.
Manakala, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu, masih tidak dibenarkan.
Sementara itu, untuk Fasa Kedua PPN – tindakan merentas negeri masih tidak dibenarkan, MKN hanya membenarkan perjalanan rentas negeri untuk 2 kumpulan ini sahaja:
- Guru dan pelajar bagi tujuan peperiksaan utama
- Pasangan jarak jauh untuk tujuan hal kecemasan sahaja
Namun ia tertakluk kepada kelulusan PDRM.
- purata kes harian COVID- 19 menurun di bawah 2,000 kes
- kadar penggunaan katil di ICU pada paras mencukupi
- kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 40%.
PPN Fasa 3
Bagi fasa 3, semua aktiviti ekonomi adalah dibenarkan beroperasi KECUALI aktiviti yang berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif seperti:
- Spa
- Pedicure & Manicure
- Pub & Kelab Malam
- Aktiviti sosial
Sementara itu kebenaran lain yang turut diberikan kepada orang awam adalah, orang awam BOLEH:
- Melaksanakan perjalanan rentas daerah sepanjang fasa 3 manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan
- Dine-in di restoran dibenarkan terhad kepada 2 orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal
- Bagi pengangkutan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing termasuk kenderaan persendirian, jumlah kapasiti ditingkatkan kepada 3 orang termasuk pemandu
- Pasar-pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP semasa
- Salon kecantikan turut dibenarkan beroperasi ketika di fasa 3 dengan mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan
- Pembukaan sektor pendidikan termasuk sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran tertakluk kepada Takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
- Kelonggaran diberi kepada orang awam untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman, dengan had 10 orang dalam satu masa
- Industri kreatif dibenarkan beroperasi, tetapi tanpa penonton
- Aktiviti pelancongan adalah dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja. Pembukaan tarikan pelancong masih tertakluk kepada penilaian risiko semasa dan SOP yang ketat
- purata kes harian COVID- 19 menurun di bawah 500 kes
- kadar penggunaan katil di ICU pada paras mencukupi
- kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 60%.
PPN Fasa 4
Fasa empat dapat dilaksanakan sekiranya bilangan kes COVID-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok 60%.
Fasa terakhir ini akan membolehkan kita semua kembali semula kepada norma kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya tertakluk kepada SOP sedia ada yang telah ditetapkan.
Untuk makluman setiap peralihan Fasa ini mengambil kira pelbagai aspek, khususnya melibatkan kadar kebolehjangkitan dan kekuatan sistem kesihatan negara. Maka kerjasama semua pihak dalam mengamalkan garis panduan amat dihargai.