Setelah mengalami dua kali penutupan operasi – pawagam Malaysia antara entiti yang berdepan risiko tinggi, dari aspek kemerosotan pendapatan sehingga 90% dan pemberhentian pekerja.
Penutupan itu meliputi pada awal November 2020 – seluruh pawagam Malaysia telah ditutup dan situasi yang sama turut dialami semula pada 10 Mei, tahun ini.
Kini sekitar 20,000 pekerja dalam industri dianggarkan berdepan risiko pemberhentian pekerjaan untuk meringankan bebanan kos operasi yang tergendala. Menurut Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas (GSC) risiko pada industri ini akan berterusan, ia telah mengalami penyusutan sejak kehadiran pandemik pada Mac 2020 tahun lalu.
Untuk makluman, pada 2020 – kerugian yang terpaksa ditanggung industri telah mencapai sehingga RM500 juta dan penurunan pendapatan pula di paras 90%. Lebih memeritkan, angka sedemikian dijangka akan terus berlaku pada tahun ini.
Berdasarkan pemantauan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) operasi pawagam hanya dapat dibuka pada Fasa 4 dan dijangka perkara itu hanya dapat dilakukan pada tahun hadapan. Susulan peningkatan kes harian positif yang sudah lebihi 20,000 kes positif ketika ini. Malah pembukaan operasi bergantung kepada situasi kesihatan semasa.
Meskipun ekonomi negara sedang mengalami pemulihan – namun tekanan PKP secara langsung kekal memberi impak kepada permintaan pengguna.
Maka, beberapa inisiatif cadangan ekonomi kini telah dikemukakan kepada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan pembukaan operasi di wilayah dan negeri zon hijau, mengikut ketetapan SOP yang ketat.