Artikel

Sekiranya Temasya Olimpik Tokyo Dibatalkan – Apakah Kesannya Pada Ekonomi, Politik Global?

Tindakan membatalkan Temasya Olimpik Tokyo – adalah antara langkah yang cukup ngeri untuk semua pihak. Ia diibarat mempertaruhkan imej sukan dunia. Pelbagai faktor perlu diteliti mereka untuk memenuhi kehendak pembatalan tersebut. Tidak hanya kos operasi, tetapi turut merangkumi aspek peraturan.

Namun – penulis melihat pembatalan itu tidak mungkin berlaku, dalam tempoh 15 hari lagi.

Sukan Olimpik Adalah Aset IOC, Bukan Jepun

Perdebatan untuk membatalkan temasya sukan terbesar dunia ini, bukanlah di bawah tanggungjawab tuan rumah – Jepun. Tetapi ia adalah tanggungjawab Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Ya, benar – IOC adalah pemilik harta eksklusif pelaksanaan temasya sukan dunia ini. Berdasarkan perkongsian kontrak IOC bersama tuan rumah – pembatalan sukan ini hanya dapat dilakukan sekiranya tuan rumah dalam keadaan perang, gangguan sivil, boikot, persetujuan ditentukan oleh masyarakat antarabangsa seperti pertikaian serta situasi yang mengancam keselamatan atlet dan peserta temasya.

Akan tetapi – pelaksanaan ini kekal diteruskan apabila pada 17 November lalu, di mana kerajaan Jepun bersama IOC bersetuju meneruskan acara ini. Tindakan itu secara langsung, menunjukkan keyakinan IOC dalam memberi jaminan keselamatan kesihatan kepada semua pihak yang terlibat pada temasya ini.

Jepun Berdepan Risiko Kerugian AS$16.4 Bilion – Sekiranya Olimpik Dibatalkan

Sekiranya Jepun perlu membatalkan acara terbasar ini – penganjur tempatan perlu berdepan dengan kerugian sekitar AS$16.4 bilion.

Angka itu menjadikan ia antara temasya termahal didunia.

Sebelum ini, laporan The Diplomat memaklumkan perbelanjaan asal temasya adalah pada kitaran AS$7 bilion sehingga AS$12.6 bilion sahaja. Namun lonjakan itu didorong berikutan penangguhan acara yang berlarutan, disebabkan pandemik COVID-19.

Pembatalan acara memerlukan pertimbangan menyeluruh dari semua aspek. Ini kerana ia melibatkan pertaruhan yang tinggi dari semua pihak – kos operasi, kos infrastruktur, kos penangguhan, peruntukan para penaja, kos tambahan vaksinasi pihak terlibat serta kos pelaburan dari setiap negara.

Ada pihak menyatakan setiap pembiayaan yang dilakukan, boleh diatasi dengan bantuan insurans. Namun pada pandangan Profesor Jack Anderson – Pakar Undang-Undang di University of Melbourne, saluran itu tidak akan membantu negara Jepun menanggung keseluruhan kos kerugian.

Adalah mustahil, untuk bahagian insurans menanggung keseluruhan kos.

Apabila penulis menyentuh isu berkenaan kos infrastruktur – ini tidak hanya meliputi kos fasiliti acara sukan tetapi turut merangkumi penyediaan khidmat hotel, pengangkutan untuk ketibaan pelancong asing yang telah dilaksanakan lebih awal. Sebelum ketibaan pandemik COVID-19.

Secara asasnya – penganjur temasya perlu menyediakan fasiliti bilik hotel kepada pengunjung, sekurang-kurangnya minimum 40,000 bilik hotel. Tidak termasuk dengan perkhidmatan pengangkutan, yang akan membawa pengunjung dari satu tempat ke tempat permainan yang lain.

Kini, disebabkan pandemik COVID-19 kerajaan Jepun terpaksa membatalkan kehadiran pelancong asing, dan hanya membenarkan kehadiran 5,000 – 10,000 pengunjung tempatan sahaja. Malah, terdapat kemungkinan temasya itu akan dilaksanakan secara tertutup.

Maka, langkah untuk membatalkan temasya ini hanya sekadar meningkatkan kadar kerugian 100% kepada Jepun. Tidak memadai.

Pelaksanaan Olimpik Tokyo, Simbolik Penting Untuk Kebangkitan Jepun – Selaku Negara Maju

Dari perspektif yang berbeza – ketegasan Jepun bersama IOC dalam meneruskan Temasya Olimpik Tokyo ini adalah untuk menjadikan ia sebagai sebuah simbolik kebangkitan.

Seperti yang umum ketahui, Jepun telah menjadi tuan rumah Olimpik pada tahun 1964. Ketika itu, negara maju ini diperlihatkan sebagai simbolik kepada pemulihan pembangunan negara setelah berdepan dengan Perang Dunia Kedua.

Oleh itu, kelangsungan Temasya Olimpik Tokyo turut dilihat sebagai proses penting untuk Jepun paparkan kepada dunia – dari segi pengendalian mereka meningkatkan kapasiti keselamatan temasya sukan.

Penyediaan ke arah itu, Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 kini memaklumkan pihak akan menggunakan sistem GPS – Global Positioning System untuk mencegah penularan COVID-19 sewaktu temasya itu berlangsung.

Menurut laporan The Japan Times – pihak jawatankuasa memberi perincian bahawa, langkah ini tidak bertujuan untuk memantau keberadaan para pengunjung tetapi ingin mengesan pergerakan mereka secara reaktitf sekiranya terdapat jangkitan COVID-19 berlaku. Fungsi  sistem ini akan diaktifkan pada telefon pintar bagi individu yang terlibat dalam temasya ini.

Pihak yang terlibat merangkumi atlet, pegawai temasya, serta petugas media.

Langkah kesungguhan Jepun ini secara tidak langsung akan memberi tekanan, persaingan kepada seluruh negara dan rakan serantaunya, China – yang bakal tampil selaku tuan rumah untuk Temasya Sukan Musim Sejuk pada Februari 2022 kelak.