Meskipun tahap rasuah negara tidak mencapai tahap pandemik – namun berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari hingga Mac 2021, trend penglibatan rasuah semakin meningkat. Khususnya dalam kalangan penjawat awam dan swasta.
Berdasarkan data, sekitar 169 penjawat awam telah didapati terlibat dengan isu rasuah – bulan Januari dengan 19 penjawat awam (45.24%) Februari pula 49 penjawat awam (44.95%) dan Mac 101 penjawat awam (59.06%) telah dikesan.
Data ini memaparkan penjawat awam meliputi bahagian Pengurusan Tertinggi, Pengurusan Profesional dan Sokongan Penjawat Awam.
Sementara itu, bahagian Awam pula merangkumi Swasta, Orang Awam dan Lain-Lain memaparkan angka keseluruhan sehingga Mac 2021 – sekitar 153 pesalah.
Angka untuk tempoh 3 bulan ini dilihat lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020 (109 – Penjawat Awam) dan 2019 (167 – Penjawat Awam). Namun nyata trend penglibatan rasuah negara masih menunjukkan momentum yang sama meskipun krisis pandemik COVID-19 sedang berlaku.
Malah 71% rakyat negara turut beranggapan amalan rasuah dalam kalangan pentadbiran awam perlu dibasmi sebaik mungkin untuk menjaga kreadibiliti imej Malaysia. Untuk maklum, peningkatan angka juga turut didorong pelaksanaan secara berterusan oleh pihak berkuasa untuk membasmi budaya ini di Malaysia.
Menurut Ketua SPRM, Azam Bakri ketika sidang khas bersama TVAlhijrah sebelum ini – pendedahan secara terbuka harus dilakukan oleh semua pihak. Langkah sedemikian dapat membantu pihak autoriti untuk mengatasi isu kewangan ini.
Tahun lalu negara telah menduduki tangga ke-57 dari 180 buah negara – kedudukan itu menunjukkan tahap rasuah negara semakin meningkat dan didorong hasil tindakan kerajaan membawa isu rasuah berprofil tinggi seperti 1MDB, SRC International, dan Tabung Haji kemuka pengadilan.