Tahun lalu, dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang benar-benar memerangi aktiviti rasuah – apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara berada pada kedudukan ke 51, naik 10 anak tangga. Namun tidak pada kali ini.
Ternyata tahun ini kedudukan CPI Malaysia telah jatuh kepada kedudukan ke 57 daripada 180 negara.
Kenyataan ini telah dimaklumkan oleh badan pemerhati rasuah dunia – Transparent International Malaysia, Dr. Muhammad Mohan di mana skor indeks presepsi rasuah hanya mencatatkan 51 skor daripada 100%. Secara perbandingannya, tahun lalu negara mencatatkan 53 skor.
Sebelum ini, peningkatan CPI negara telah didorong hasil tindakan kerajaan membawa isu rasuah berprofil tinggi seperti 1MDB, SRC International, dan Tabung Haji kemuka pengadilan.
Penurunan ini dilihat seiring dengan tanggapan rakyat Malaysia sebelum ini bahawa isu rasuah seharusnya diatasi dengan lebih baik, supaya kewibaan integriti negara dapat diubah dan terus dipelihara.