Para majikan dan pemain industri sedia maklum bahawa sejak tahun lalu – kerajaan telah mengehadkan penglibatan pekerja asing pada pembangunan negara.
Tindakan itu adalah inisiatif kerajaan untuk mengurangkan tenaga kerja asing dan membuka lebih banyak penawaran pekerjaan kepada warga Malaysia.
Bagaimanapun, terdapat 3 sektor yang dikecualikan iaitu pertanian, pembinaan dan perladangan. Kini berdasarkan Kementerian Dalam Negeri – terdapat 40,000 permintaan berhubung kemasukan tenaga asing untuk sektor perladangan.
Permintaan ini berikutan pengurangan guna tenaga pada sektor perladangan komoditi yang dianggarkan sekitar 500,000 pekerja. Setakat ini terdapat 220,000 pekerja tempatan, manakala 265,397 pekerja asing.
KDN buat masa ini, masih meneliti polisi dan penetapan SOP yang rapi sekiranya kemasukan 40,000 tenaga asing itu dibenarkan. Ini merangkumi penguatkuasaan pada sudut ujian saringan COVID-19, proses kuarantin, vaksinasi serta kos tanggungan.
Menyedari kekurangan ini, penulis melihat peluang penawaran pekerjaan pada sektor perladangan adalah tinggi – namun mengapa terdapatnya kekosongan yang tinggi? Untuk makluman – Kementerian Perusahaan dan Komoditi menyatakan negara memiliki keluasan tanah ladang pada kitaran 7.14 juta. Untuk meningkatkan produktiviti operasi – Malaysia seharusnya memiliki sekitar 1 juta pekerja pada sektor terbabit.