Artikel

MyCar Menyambut Baik Tindakan MyCC Terhadap Grab

Susulan MyCC syorkan Grab didenda RM86 juta, dan Grab terkejut dengan tindakan MyCC namun akur dengan Akta Persaingan, MyCar kini bersuara.

Menurut MyCar, mereka menyambut baik tindakan MyCC untuk mendenda Grab. MyCar berkata, mereka berhadapan dengan keadaan yang sukar untuk mendapatkan sambutan lantaran menghadapi isu monopoli dalam industri e-hailing (seru-pandu).

MyCar mengharapkan 12 Oktober 2019 ini adalah titik mula Industri Seru-Pandu bersaing secara sihat dan mengikut lunas undang-undang serta peraturan yang wajib di patuhi oleh semua syarikat seru-pandu. 

MyCar juga memohon pihak kerajaan tidak membenarkan mana-mana aplikasi seru-pandu membenarkan fungsi ‘Wajib Terima’ (Auto Accept) kerana ini membuka ruang kepada penindasan kepada para pemandu dan menambah risiko pemonopolian oleh syarikat seru-pandu tersebut.

MyCar yakin Kementerian Pengangkutan melalui agensinya APAD dan JPJ akan tegas pada mana-mana syarikat seru-pandu yang ingkar mematuhi seperti mengambil tindakan tegas pada kenderaan yang lebih 10 tahun memandu seru-pandu dan pemandu yang mempunyai rekod jenayah.

MyCar kekal sebagai aplikasi mesra pemandu, malahan akan menurunkan pengambilan komisen tempahan dari pihak pemandu dari 15% kepada 9% untuk pemandu seru-pandu MyCar yang ada Permit Kenderaan Elektronik MyCar (EVP) dengan syarat yang memasang pelekat kenderaan MyCar.