Setelah mengesan beberapa aktiviti mencurigakan- sistem dan perkhidmatan utama Lembaga Tabung Haji (TH) kini kembali beroperasi selepas dihentikan sementara susulan serangan siber pada 8 Oktober lalu.
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengaktifan semula sistem dan perkhidmatan utama berkenaan dilaksanakan selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan serta langkah pemulihan sistem dijalankan. Sebagai perincian, cawangan TH di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah kembali beroperasi mulai semalam, manakala semua cawangan di negeri lain dibuka seperti biasa hari ini, selain perkhidmatan melalui bank rakan strategiknya turut kembali aktif.
TH juga memberikan jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat. Pemantauan rapi serta pengukuhan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem dan perkhidmatan yang diaktifkan semula beroperasi dengan selamat dan lancar.