Selain berdepan El Nino, iaitu fenomena cuaca panas – negara serantau seperti Malaysia perlu bersiap sedia akan fenomena tambahan iaitu ancaman jerebu. Ini kerana perubahan tiupan angin monsun mendorong peralihan asap pembakaran hutan dan tanah gambut dari wilayah negara jiran ke arah Malaysia. Penulis akui ini adalah fenomena alam sekitar yang sukar dijangka, namun ini bukanlah kali pertama dilalui oleh seluruh negara serantau maka seharusnya tindakan pengawalannya wajar bertambahbaik dari tahun ke tahun.
Tahukah pembaca, Malaysia pernah menanggung kerugian sehingga RM1.49 bilion pada isu jerebu tahun 2013 dan rugi RM1.16 bilion pada 2015? Dan berdasarkan pengamatan semasa menerusi Indeks Pencemaran Udara (IPU) didapati tahap udara Malaysia terus tidak menentu, yang sekali gus boleh memberi kesan kepada pasaran domestik dengan risiko kewangan yang jauh lebih tinggi. Ini bermakna situasi yang sama berpotensi berulang pada edisi kali ini berikutan tindakan kawalannya lebih perlahan.
Bacaan IPU Lebihi 200 – Semua Premis Pendidikan Tutup, Produktiviti Ekonomi Merudum
Apabila berlakunya krisis kesihatan, sebagai contoh jika bacaan IPU lebihi 200 sudah pasti penutupan sektor pendidikan akan dilaksanakan sebagai langkah awal melindungi kumpulan anak-anak daripada risiko persekitaran. Namun penutupan ratusan sekolah di kebanyakkan negeri ini secara langsung akan mencetuskan kesan rantaian kepada sektor tenaga kerja di Malaysia. Yang mana kumpulan penjaga dan ibu bapa perlu mengambil cuti kecemasan untuk menguruskan penjagaan anak di rumah. Ia sekali gus menjejaskan tahap produktiviti ekonomi di Malaysia secara drastik tidak hanya sektor swasta bahkan di peringkat kerajaan.
Selain itu, sektor yang bergantung penuh kepada tenaga kerja luar seperti pembinaan, logistik, dan pertanian kini mengalami kelembapan operasi seperti penangguhan projek disebabkan jarak penglihatan yang terhad melambatkan tempoh penyiapan projek infrastruktur nasional. Diikuti logistik terjejas kerana rantaian bekalan barangan runcit dan komoditi utama negara mengalami gangguan kecekapan penghantaran.
Pelancongan Dan Hospitaliti Berdepan Kesan Drastik
Sektor pelancongan – salah satu penyumbang utama KDNK Malaysia menjadi mangsa terawal yang menerima tekanan langsung daripada krisis ini.
Yang mana berlakunya kemerosotan tempahan hotel. Ia berlaku kesan pembatalan penerbangan domestik dan antarabangsa atas faktor keselamatan ruang udara, serta penutupan pusat rekreasi luar, menyebabkan kadar huni hotel merosot mendadak.
Disusuli penangguhan acara berskala besar – penganjuran acara sukan, konsert antarabangsa, dan persidangan perniagaan terpaksa ditangguhkan bagi mengelakkan risiko kesihatan. Dan tekanan aliran tunai – kehilangan perbelanjaan pelancong asing memberi tekanan hebat kepada pengusaha hotel, restoran, dan syarikat pengangkutan yang baru sahaja memulakan fasa pemulihan.
Kos Rawatan Kesihatan, Tekanan Majikan Melonjak
Seperti yang digariskan data MJPHM, Malaysia pernah berdepan kerugian sehingga RM1.49 bilion pada isu jerebu 2013 – yang mana tahun ini memperlihatkan kos kesihatan merekodkan sekitar RM410.6 juta , diikuti RM2022.8 juta bagi cuti sakit dan untuk majikan pula berdepan RM958 juta kehilangan peluang pendapatan.

Keadaan ini membuktikan ancaman jerebu bukan sekadar isu alam sekitar atau kesihatan semata-mata, sebaliknya merupakan krisis makroekonomi yang memerlukan kesiapsaian dana serta mekanisme tindakan yang jauh lebih pantas dan proaktif.