Artikel

TNG eWallet Kini Miliki Lebih 3.4 Juta Pengguna Warga Emas – Pacu Akses Kewangan Digital

Perkhidmatan kewangan digital kini semakin diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia, termasuk golongan warga emas. Terbaharu TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) merekodkan lebih daripada 3.4 juta pengguna disahkan yang berumur 60 tahun ke atas telah menggunakan aplikasi TNG eWallet.

Peningkatan positif ini membuktikan bahawa persepsi masyarakat terhadap celik digital dalam kalangan generasi terdahulu telah berubah, sekali gus menyaksikan aplikasi tersebut kini menjadi sebahagian penting daripada urusan seharian mereka.

Pertumbuhan keyakinan ini turut membuka ruang kerjasama strategik pada pasaran semasa. Antaranya minggu lalu TNG Digital memaklumkan TNG eWallet kini menyediakan saluran pembayaran alternatif untuk menyalurkan pencen bulanan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Langkah ini direka khusus bagi membantu sesetengah pesara yang menghadapi kesukaran mengakses akaun bank konvensional mereka, terutamanya akibat masalah akaun dibekukan atau disekat selepas menjadi mangsa penipuan kewangan.

Penyediaan saluran alternatif menerusi TNG eWallet ini secara tidak langsung membantu melengkapi sistem perbankan sedia ada dan mengelakkan kesusahan yang tidak sepatutnya dialami oleh pesara warga emas.