Artikel

Mengapa Hampir 2 Juta Rakyat Malaysia Berbakti Di Bumi Asing?

Sewaktu membesar dahulu setiap kali terdengar ada anak muda di kampung berhijrah, bekerja di luar negara – pasti akan terselit rasa kagum dalam hati. Di fikiran penulis, dengan kelayakan dan kepakaran yang dimiliki, kehidupan mereka di sana sudah tentu jauh lebih baik. Namun tanpa sedar, langkah penghijrahan bakat atau brain drain ini lama-kelamaan bertukar menjadi ancaman senyap kepada masa depan ekonomi kita.

Tahukah anda, laporan Bank Dunia Raising the Ceiling, Raising the Floor: Jobs Agenda as a Productivity Agenda mendedahkan hakikat yang perit apabila lebih separuh daripada 1.86 juta rakyat Malaysia yang menetap di luar negara merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Mereka memilih untuk menabur bakat di bumi asing, meninggalkan tanah air yang kerugian. Persoalannya, mengapa situasi ini terus berlaku?

Malaysia Masih Terperangkap Dalam Skop Tenaga Kerja Bernilai Rendah

Ini realiti yang ramai pihak tidak mahu akui, walaupun Malaysia merupakan negara berstatu pendapatan pertengahan tinggi – namun budaya mengutamakan skop tenaga kerja bernilai rendah masih lagi besar di pasaran Malaysia.

Mengikut dapatan Jabatan Perangkaan (DOSM) setakat akhir 2024, seramai 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia masih tidak perolehi kerjaya setara kemahiran. Dan terbaharu sekitar 8.4% pekerja formal di Malaysia direkodkan masih terima gaji bawah RM1,700 iaitu paras gaji minimum yang ditetapkan sejak awal 2025. Keadaan ini mewujudkan satu rantaian ekonomi yang tidak sihat, di mana struktur industri tempatan seolah-olah mendatar dan tidak berkembang ke arah sektor yang berintensifkan pengetahuan tinggi.

Akibatnya, timbul had kapasiti yang ketara dalam ekonomi domestik untuk menyerap lambakan graduan berkualiti yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi saban tahun. Oleh kerana kekurangan peluang pekerjaan yang menawarkan produktiviti tinggi atau tangga gaji yang setimpal, bakat-bakat ini terpaksa memandang ke luar sempadan. Mereka berhijrah ke pasaran luar yang bukan sahaja menawarkan ganjaran kewangan yang lebih adil, malah menyediakan ruang yang lebih luas untuk memaksimumkan potensi serta kemahiran mereka di pasaran hadapan.

Hilang Bakat Tempatan, Hilang Hak Milik Inovasi

Kesan jangka panjang daripada isu brain drain ini juga telah mula merebak ke sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, yang menyaksikan kehilangan hak intelek berskala besar. Data Bank Dunia menunjukkan trend yang sangat membimbangkan apabila bahagian paten melibatkan pencipta Malaysia yang dimiliki oleh entiti tempatan merosot daripada sekitar 63% pada awal 1990-an kepada bawah 20% memasuki tahun 2020. Ini bermakna, produk minda anak watan kini lebih banyak didaftarkan atas nama syarikat gergasi asing berbanding syarikat tempatan.

Lebih ralat lagi laporan ini turut mendedahkan bahawa paten milik asing yang melibatkan pencipta Malaysia ini secara konsisten mengatasi prestasi paten milik tempatan dari segi penunjuk kualiti global. Realiti ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak pernah kekurangan kreativiti atau kepintaran berhubung reka cipta untuk bersaing di pentas dunia. Malangnya, keupayaan inovasi yang bernilai tinggi ini telah diserap dengan mudah oleh firma luar yang mempunyai bajet besar dan ekosistem yang lebih menyokong untuk mengkomersialkan idea-idea bernilai tinggi tersebut.

Tiada Daya Saingan, Kemajuan Pasaran Malaysia Lebih Perlahan

Terdapat juga tanda-tanda berlakunya persaingan pasaran yang terhad dalam beberapa sektor. Tinjauan Bank Dunia ini turut mendapati, dalam pasaran makanan 1 daripada setiap 2 perniagaan melaporkan keupayaan untuk mengenakan harga yang lebih tinggi tanpa berdepan risiko kehilangan pelanggan, manakala dalam perkhidmatan runcit pula nisbahnya adalah 1 daripada setiap 3 perniagaan – iaitu melebihi kebanyakan negara setara, sekali gus menunjukkan daya persaingan di Malaysia lebih lemah dan membebankan kos ke atas pengguna.

Ketiadaan persaingan yang sihat ini akhirnya membuatkan syarikat tempatan menjadi selesa dan culas untuk melabur dalam sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Ketika ini, perbelanjaan R&D negara sekadar berada pada paras 1.01% daripada KDNK, tersasar jauh daripada sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) iaitu 2.5%  menjelang 2030. Kebanyakan syarikat tempatan melihat R&D sebagai satu pelaburan yang merugikan kerana pasaran domestik yang mempunyai unsur monopoli dan mengecil tidak memberi ruang untuk mereka meluaskan jualan produk baharu, sekali gus memaksa mereka berpaut pada teknologi lama.

Lebih parah lagi, ekosistem pasaran yang lemah ini mencetuskan ketidakcekapan peruntukan, di mana dana bahan mentah dan peluang projek kerajaan tidak disalurkan kepada syarikat yang betul-betul produktif dan inovatif. Menurut Bank Dunia, sekiranya Malaysia membaiki sistem ini dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus dan adil tanpa gangguan monopoli, jumlah produktiviti sektor pembuatan mampu melonjak sehingga 23%. Malah, pembaikan struktur ini sahaja sudah cukup untuk menambah nilai KDNK negara sebanyak 5% sekali gus membawa Malaysia mencapai status negara maju setahun lebih awal.