Artikel

Pasport Malaysia Baharu Akan Dikeluarkan Secara Berfasa – Sedia 94 Ciri Keselamatan

Pasport Malaysia baharu dimaklumkan akan dikeluarkan bermula 1 Jun ini, dengan dilengkapi 94 ciri keselamatan berbanding sebelum ini sekadar 49 ciri keselamatan.

Ciri sedemikian meliputi elemen seperti hologram, cetakan ultraviolet (UV), ciri visual tersembunyi serta teknologi forensik yang sukar ditiru tanpa penggunaan mesin berteknologi tinggi.

Menurut laporan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) makluman ciri sedemikian bertujuan menambahbaik tahap keselamatan data pengguna dan mengatasi isu pemalsuan pada pasaran semasa. Pengenalan pasport baharu ini dijelaskan akan dikeluarkan secara berfasa di 4 pejabat pasport JIM sebagai permulaan melibatkan Ibu Pejabat Imigresen di Menara Ikhlas Putrajaya, Jabatan Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, UTC Wangsa Maju serta Pejabat Imigresen Shah Alam. Setelah itu JIM optimis meluaskan keperluan tersebut secara menyeluruh menjelang akhir Julai 2026 ini.

Selain pasport, MyKad versi baharu turut akan diperkenalkan pada tempoh yang sama bersama penampilan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri keselamatan yang tersedia pada MyKad semasa. Menariknya MyKad versi baharu dijelaskan tidak akan dilengkapi dengan elemen Touch ‘n Go (TNG).