Sebelum ini, permohonan pertukaran lesen memandu asing bagi rakyat Malaysia telah dihentikan sejak 19 Mei 2025, dengan pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang tidak pernah memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM). Namun, bermula 1 Jun 2026, kemudahan ini akan dibuka semula kepada semua warganegara tanpa mengira sama ada mereka sudah mempunyai lesen tempatan atau hanya memegang lesen negara asing.
Penambahbaikan itu, menurut notis Kementerian Pengangkutan (MOT), mengambil kira keperluan semasa dan mobiliti rakyat Malaysia, khususnya dalam mendepani persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.
Berdasarkan kelonggaran tersebut, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti setiap permohonan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dilaraskan. Antara syarat utama termasuklah pemohon mestilah memiliki lesen memandu asing yang sah, masih aktif, dan bebas daripada sebarang sekatan rekod. Kumpulan yang memenuhi kriteria ini akan dipertimbangkan untuk pertukaran terus kepada LMM.