Artikel

Permohonan Tukar Lesen Memandu Negara Asing Ke Lesen Memandu Malaysia Dihentikan, Bermula 19 Mei Ini – JPJ

Berkuat kuasa 19 Mei 2025 ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan semua permohonan pertukaran lesen memandu negara asing ke Lesen Memandu Malaysia (LLM) akan dihentikan. 

Ini bermakna, mana-mana rakyat negara asing yang memerlukan LMM adalah dikehendaki menjalani tatacara mendapatkan lesen tersebut sebagaimana yang dilalui prosedur oleh semua rakyat Malaysia.

Akan tetapi pengecualian diberikan kepada beberapa kumpulan rakyat negara asing – antaranya adalah individu di bawah kor diplomatik, peserta Malaysia My Second Home (MM2H) dan warganegara Malaysia yang perolehi lesen memandu negara asing sebelum daripada LMM. 

Malah pengecualian juga turut diberikan kepada warganegara asing di Malaysia yang tinggal untuk tempoh sementara sahaja iaitu kurang daripada 12 bulan. Kriteria ini dibenarkan untuk Negara Pejanji kepada Convention on Road Traffic 1949, Geneva (Konvensyen 1949) dan Vienna (Konvensyen 1968). Di mana individu daripada negara berkenaan dibenarkan untuk memandu menggunakan Permit Memandu Antarabangsa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Negara Pejanji.

Sementara warganegara dari ASEAN pula – individu hanya perlu menggunakan lesen memandu negara asal susulan diterima pakai di bawah Perjanjian Mengiktiraf Lesen Memandu Domestik Dikeluarkan oleh Negara ASEAN 1985.

Dengan makluman ini, diharap semua pihak terlibat peka akan penguatkuasaan tersebut. Tindakan ini menurut JPJ adalah sebahagian penambahbaikan negara dalam meningkatkan aspek keselamatan jalan raya secara berkala.