Artikel

Malaysia Rugi RM2.77 Bilion Kesan Scammer – Google Perkukuh Inisiatif ‘Safer with Google’

Google kini perkukuhkan pertahanan digital di Malaysia melalui inisiatif Safer with Google bagi menangani ancaman penipuan kewangan yang semakin membimbangkan di pasaran semasa.

Melalui kerjasama strategik bersama ASEAN Foundation dan organisasi tempatan seperti Ratio:Cause, Google menyasarkan untuk memperkasakan 200,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran pencegahan penipuan atas talian. Program Scam Ready ASEAN ini disokong oleh dana sebanyak $5 juta daripada Google.org untuk melengkapkan komuniti dengan kemahiran berfikir kritis dan keyakinan digital bagi melindungi diri daripada taktik manipulasi psikologi penipu.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Google pada sidang pelancaran hari ini turut memaklumkan kelak pihaknya akan perkenalkan program latihan berasaskan permainan iaitu Be Scam Ready yang menggunakan penyelidikan sains tingkah laku. Peserta yang menyertai simulasi ini menunjukkan peningkatan ketara dalam keupayaan mengenal pasti penipuan. Selain itu, teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digunakan untuk mengesan tanda-tanda penipuan melalui ciri Circle to Search dan Google Lens, yang membantu pengguna mengenal pasti mesej teks atau laman web palsu yang cuba menuntut wang secara tidak sah.

Dari aspek keselamatan peranti pula Google meningkatkan perlindungan melalui Google Play Protect yang dikuasakan oleh AI untuk menganalisis dan menyekat pemasangan aplikasi daripada sumber luar yang berisiko menyalahgunakan kebenaran data bagi tujuan penipuan kewangan.

Tidak hanya itu, mejelang 2027, Android juga akan mewajibkan semua pembangun aplikasi yang ingin mengedarkan perisian mereka di platform Android untuk mendaftar dan melalui proses pengesahan identiti. Langkah Android Developer Verification ini adalah kritikal bagi menamatkan keupayaan penjenayah siber yang mengeksploitasi identiti tanpa nama untuk mengedar perisian hasad secara berulang kali.

Bagi memastikan ekosistem pengiklanan yang lebih selamat, Google seperti yang diumumkan sebelum ini turut melaksanakan Dasar Pengesahan Perkhidmatan Kewangan (FSV) di Malaysia. Di bawah polisi ini, hanya penyedia perkhidmatan kewangan yang sah dan berlesen sahaja dibenarkan menyiarkan iklan kepada pengguna. Pengiklan perlu membuktikan bahawa mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), atau Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA). Langkah ini melengkapi teknologi AI sedia ada yang kini berjaya menyekat 10 juta e-mel spam setiap minit dan 25 juta cubaan pancingan data setiap bulan pada pelayar Chrome dan Android.