Artikel

Google Perkenal Sistem Pengesahan Perkhidmatan Kewangan Di Malaysia – Atasi Isu Scammer

Dalam usaha melindungi rakyat Malaysia daripada isu penipuan kewangan, Google hari ini mengumumkan pengenalan keperluan pensijilan baharu buat pengiklan perkhidmatan kewangan yang beroperasi di Malaysia. 

Sistem yang dikenali sebagai pengesahan perkhidmatan kewangan (FSV) ini bertindak menambah lapisan keselamatan baharu kepada dasar produk dan perkhidmatan kewangan sedia ada di pasaran semasa dengan memastikan bahawa hanya penyedia perkhidmatan kewangan yang sah dan berlesen sahaja dapat dipaparkan kepada pengguna negara.

Langkah ini diambil memandangkan impak aktiviti penipuan di Malaysia bagi tahun 2025 sahaja telah menyebabkan kerugian mencecah RM2.77 bilion.

Dan sebagai usaha untuk memacu amalan keselamatan ini, Google memaklumkan bermula 14 April ini, pengiklan produk dan perkhidmatan kewangan terpilih akan dikehendaki melengkapkan proses pengesahan sebelum mereka menyiarkan iklan di platform Google.

Proses pengesahan ini memerlukan bukti pengesahan dari pihak berkepentingan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Labuan (LFSA) serta telah melengkapkan program pengesahan pengiklan bersama Google menerusi rakan pematuhan mereka iaitu G2. Maka untuk tindakan lanjut, para pengiklan dimaklumkan boleh memohon pengesahan tersebut bermula hari ini sebelum penguatkuasaan berkuat kuasa pada 14 April 2026 kelak.

Untuk makluman Google telahpun memperkenalkan dasar FSV ini pada pasaran global sejak 2021 secara berperingkat. Selain Malaysia beberapa negara Asia lain turut telah melaksanakan sistem ini seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.