Selaras dengan usaha penjimatan perbelanjaan tenaga, kerajaan kelak akan menaikkan suhu penyaman udara di semua pejabat awam pada paras 24 darjah Celsius. Mengambil kira tindakan itu, maka semua penjawat awam digalakkan untuk memakai baju batik setiap hari ketika waktu berkerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat.
Saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada notis Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini adalah selari dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP7.2.3 mengenai Etiket Pakaian dan Penampilan pengawai awam. Malah Ketua Jabatan turut boleh membenarkan pegawai bertugas untuk memakai baju korporat atau baju kerja lapangan pada hari tertentu untuk tujuan bertugas. Bagaimanapun perihal ini berkecuali untuk kumpulan petugas beruniform.
Dengan kelonggaran kod etika pemakaian sedemikian ia tidak sekadar memberi kelesaan kepada penjawat awam berkaitan tetapi turut menjadi antara pendekatan proaktif dalam memastikan kualiti tugas tidak terjejas kesan krisis tenaga global.