Industri perfileman tempatan kehilangan satu nama besar apabila MBO Cinemas secara rasminya mengumumkan penamatan operasi mereka di seluruh pasaran Malaysia.
Melalui kenyataan di laman Facebook rasmi, pihak pengurusan menzahirkan penghargaan mendalam kepada para penonton setia yang telah menyokong mereka sepanjang bertahun-tahun. Penutupan ini menandakan berakhirnya sebuah legasi pawagam yang pernah menjadi antara rangkaian terbesar di 10 buah negeri.
Seperti yang umum ketahui pawagam MBO telahpun berdepan kesukaran pada kestabilan operasi kesan permintaan pengguna yang merosot disusuli tekanan krisis COVID-19 sebelum ini.
Walaupun sebahagian besar aset strategik MBO telah diambil alih oleh Golden Screen Cinemas (GSC) pada September 2021, baki cawangan yang cuba bertahan akhirnya dilihat terpaksa akur dengan cabaran ekonomi semasa. Keputusan ini menyaksikan kesemua cawangan MBO kini ditutup secara kekal buat selamanya dan berdasarkan tinjauan Rnggt, pautan laman MBO Cinemas juga kini tidak lagi boleh diakses.
